Nora Anne Bakal Dibawa Pulang, Dr Wan Azizah Zahir Kesedihan

Keluarga remaja Ireland, Nora Anne Quoirin kini sedang membuat persiapan untuk membawa mayat anak mereka pulang ke United Kingdom.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh ahli keluarga kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pertemuan yang diadakan secara tertutup pagi tadi.

“Malaysia dan kedutaan Ireland serta Perancis akan bekerjasama untuk melaksanakan prosedur itu (membawa pulang mayat Nora Anne),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Nicole berkata, Dr Wan Azizah meluahkan rasa sedih sehingga menitiskan air mata ketika pertemuan kira-kira 15 minit pada jam 11.15 pagi itu berlangsung.

“Kak Wan (Dr Wan Azizah) rasa amat sedih dan terus meminta kebenaran untuk memeluk kedua-dua adik Nora Anne iaitu Innes Julia dan Maurice Arthur.”

“Selepas itu, kami duduk di sofa untuk berbincang. Ibu Nora Anne, Meabh diapit oleh Kak Wan dan saya,” katanya yang enggan mendedahkan butiran perbincangan yang diadakan.

Menurutnya, dalam pertemuan itu Dr Wan Azizah sempat memaklumkan kepada Meabh bahawa kira-kira 400 orang anggota pasukan keselamatan telah terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne sebelum remaja itu ditemui tidak bernyawa.

Beliau berkata, Dr Wan Azizah turut menzahirkan rasa simpati atas kehilangan itu sebelum mereka menamatkan pertemuan itu.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca