Nombor Rumah 666 Rujuk Simbol Satanisme, Selubungi Kisah Mistik Banglo Berhantu Di Bandung

Siapa sangka destinasi pelancongan terkenal di Indonesia ternyata memiliki satu kisah mistik yang belum diketahui masyarakat luar.

Di sebalik keindahan dan kenyamanan syurga dunia ini, tersembunyi sebuah rumah banglo mewah yang sering dikenali dan dipanggil dengan nama Rumah Gurita. Perkataan ‘gurita’ merujuk kepada maksud sotong. Rumah mewah ini terletak berhampiran dengan kawasan rumah penginapan di Bandung.

Jika ada di antara kalangan pembaca yang pernah melancong ke sini dan menginap di Hotel Grand Aquila Bandung, anda pasti akan menyedari kewujudan rumah agam berkenaan.

Kehadiran replika sotong kurita gergasi pada bahagian rumah banglo itu secara tidak langsung mampu menimbulkan ketakutan kepada sesiapa sahaja yang memandangnya.

Warga tempatan di sekitar kawasan tersebut rata-ratanya mempercayai bahawa replika sotong gergasi yang terdapat pada bahagian bumbung rumah itu merupakan simbol pemujaan syaitan.

Bukan itu sahaja, satu daripada petunjuk yang meyakinkan penduduk sekeliling bahawa rumah tersebut berhantu ialah angka bangunan berkenaan yang dikenali dengan 666.

Menurut tradisi dan kepercayaan masyarakat Bandung, angka 666 merupakan nombor yang tidak baik dan sering kali dianggap sebagai kegelapan. Hal ini kerana, angka tersebut merujuk kepada simbol satanisme.

Misteri kewujudan rumah berkenaan secara tidak langsung menimbulkan persoalan dan tanda tanya yang tidak berpenghujung. Oleh yang demikian, terdapat segelintir masyarakat tempatan yang mencuba untuk memasuki rumah agam tersebut.

Bagaimanapun, tidak ada satu pun manusia yang berjaya memasuki rumah berhantu itu. Ini kerana, tiada satu pun laluan untuk mereka mengakses masuk ke dalam rumah berkenaan.

Menurut laporan mStar, kenalan penulis yang dikenali sebagai Indera mendakwa bahawa kemungkinan pemilik rumah berkenaan merahsiakan laluan masuk ke dalam banglo mewah itu agar aktiviti pemujaannya tidak terbongkar.

Jelasnya lagi, sekiranya ada di antara warga setempat yang ingin menyertai kumpulan pemujaan itu, mereka dikehendaki untuk menyucuk hujung jari masing-masing dengan jarum sehingga terluka. Darah yang mengalir akibat luka pada jari itu kemudiannya akan ‘dipersembahkan’ kepada syaitan yang dipuja.

Namun begitu, Indera menyatakan bahawa segala mistik yang tersebar dalam kalangan masyarakat setempat hanyalah umpama dongeng tanpa sebarang bukti yang kukuh. Oleh kerana itu, ia masih kekal menjadi misteri sehingga ke hari ini.

Menurut laporan mStar, penjaga rumah berkenaan bagaimanapun menyangkal dakwaan orang ramai yang menganggap kewujudan sotong itu sebagai simbol kepada pemujaan syaitan.

Berdasarkan pernyataan yang dikemukakan oleh penjaga banglo itu, rekaan bangunan serta kewujudan replika sotong gergasi dihasilkan berlandaskan rasa cinta dan minat pemilik asal terhadap seni halus.

Menariknya, mitos ini secara tidak langsung menjadi pencetus idea kepada seorang pengarah industri perfileman Indonesia iaitu Jose Purnomo untuk mengahasilkan filem berjudul Rumah Gurita pada tahun 2014 lalu.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca