Nikmati Diskaun 20% Bagi Tambang KTM Komuter Mulai 1 April

PUTRAJAYA: Mesyuarat Kabinet hari ini meluluskan cadangan pemberian diskaun 20% bagi perkhidmatan KTM Komuter yang akan berkuatkuasa mulai 1 April ini.

Menurut Menteri Pengangkutan iaitu Anthony Loke Siew Fook, pemberian diskaun yang hanya ditawarkan kepada rakyat Malaysia ini bertujuan menambah jumlah penumpang pengangkutan awam kepada 120,000 orang sehari daripada 94,000 orang kini.

“Diskaun 20% ini diberikan kepada semua penumpang KTM Komuter di lima jajaran. Di belah utara, ia ditawarkan di jajaran Padang Rengas ke Butterworth dan Butterworth ke Padang Besar. Seterusnya, di Lembah Klang antara Port Klang ke Tanjung Malim dan Seremban ke Batu Caves. Di belah selatan, dari Sungai Gadut ke Tampin,” ujarnya.

“Di Lembah Klang, ia merentasi Negeri Sembilan dan Selangor. Di utara, ia merentasi Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis,” kata Loke.

Menurut Bernama, diskaun ini akan diberikan untuk jangka masa setahun dan dasar ini akan dikaji semula setiap tahun. Di samping itu, diskaun ini merupakan diskaun tambahan kepada penumpang yang menggunakan kaedah tanpa tunai seperti kad KTM, MYKad dan Touch ‘n Go.

“Ini merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan beban kos sara hidup kerana faktor kos pengangkutan adalah faktor yang ke-3 tertinggi. Pemberian diskaun dijangkakan akan mengurangkan hasil KTM sebanyak RM43 juta.
Oleh itu, pengurangan hasil ini akan ditampung oleh Perbadanan Aset Kereta Api (RAC),” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata penambahan bas pengantara (feeder bus) dari stesen bas ke stesen Aliran Transit Massa (MRT) masih dalam proses perancangan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca