Neymar Berang, The Red Devils Ke Suku Akhir

Penyerang sensasi Paris Saint-Germain (PSG), Neymar melahirkan rasa kecewanya dan membidas penggunaan sistem video assistant referees (VAR) selepas menyaksikan pasukannya tersingkir dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Neymar menyifatkan bahawa penalti yang diberikan kepada Manchenster United pada minit-minit akhir itu sebagai satu tindakan yang ‘memalukan’. Penalti berkenaan diberikan sejurus reviu VAR menunjukkan bola telah terkena tangan pemain PSG iaitu Presnel Kimpembe.

Terdahulu, juara Perancis itu menang 2-0 pada aksi pertama di Old Trafford dan kedudukan agregat 2-1 memihak kepada mereka sebelum Marcus Rashford tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-94 perlawanan.

Pemain kebangsaan Brazil yang tidak dapat beraksi kerana mengalami kecederaan kaki kelihatan berang dengan keputusan yang dibuat oleh pengadil itu. Pada babak akhir perlawanan, dia kelihatan melahirkan kemarahannya di tepi padang.

Bintang PSG itu kemudiannya bertindak memuat naik story di laman Instagram miliknya dan menyelar penggunaan sistem berkenaan. Dia tampil membidas keputusan Skomina dan mendakwa pengadil berkenaan serta pegawai lain yang terbabit seolah-olah ‘tidak faham bola sepak’.

“Ini amat memalukan! Mereka meletakkan empat orang lelaki yang tidak faham bola sepak bagi meneliti ulang tayang gerak perlahan. Ia memang tidak munasabah!”

“Bagaimana seorang pemain mahu mengelak tangannya apabila ia terkena bahagian belakangnya!” tulisnya dalam Bahasa Portugis.

Kapten Brazil yang dulunya merupakan pemain bintang Barcelona telah menyertai PSG pada Ogos 2017. Perpindahan tersebut merekodkan yuran yang paling mahal di dunia. Kini, angan-angan PSG untuk menyambar trofi Liga Juara-Juara yang belum pernah mereka julang selama ini telah terkubur.

Artikel Lain Untuk Di Baca