KONGSIKAN

Penulis: Zafirah Zapri

Mencari rezeki di laut merupakan pekerjaan yang mencabar dan kebiasaannya orang lelaki yang membuat kerja-kerja ini. Namun di Korea Selatan khususnya di Pulau Jeju, perempuan pun boleh jadi nelayan.

Apa yang menarik, nelayan wanita di Pulau Jeju ini terdiri daripada warga emas dari umur 70 hingga 90 tahun! Mereka boleh menyelam sehingga kedalaman 10 meter di dasar laut tanpa memerlukan bantuan tangki oksigen atau peralatan skuba yang lain. Kumpulan penyelam wanita ini dikenali sebagai Haenyeo yang bermaksud ‘Wanita Laut’.

 

 

Mereka menyelam untuk mengutip hasil laut seperti abalon, rumpai dan landak laut sebagai mata pencarian. Penyelam-penyelam wanita ini akan menahan nafas selama seminit untuk setiap selaman dan menghasilkan bunyi siulan yang unik ketika bernafas di permukaan lautan.

 

Sejarah Haenyeo

Haenyeo merupakan sebahagian daripada warisan budaya Korea Selatan yang unik. Berdasarkan sejarah, kerjaya ini dipercayai telah wujud sejak era Dinasti Joseon. Ketika itu, Haenyeo dianggap sebagai pekerjaan yang berkelas rendah dengan pendapatan yang tidak begitu lumayan.

Nelayan lelaki menangkap ikan di laut lepas manakala nelayan wanita pula mengutip hasil laut dengan menyelam di kawasan pinggir pantai.

Oleh kerana bilangan kaum lelaki ketika itu semakin berkurangan akibat peperangan dan hilang di lautan, ramai kaum wanita telah mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan pencari rezeki. Pekerjaan tersebut juga masih wujud sehingga zaman kini.

 

Cara mereka bekerja

Mereka hanya membawa peralatan seperti pelampung, jaring, tombak dan tempuling ketika menyelam. Selain itu, mereka turut menggunakan ‘tewak’ iaitu sejenis alat pengapungan yang berbentuk bulat dan mempunyai jaring untuk diisikan dengan tangkapan hasil laut.

Walaupun mereka bekerja secara individu, namun sekurang-kurangnya dua orang harus berada di dalam air sebagai langkah keselamatan dan menjaga antara satu sama lain.

Menurut laman portal Daily Mail, seusia belasan tahun lagi, mereka mula menyelam iaitu ketika berusia 13 hingga 15 tahun. Pengetahuan menyelam ini diperturunkan kepada generasi muda khususnya antara ibu dan anak perempuannya. Disamping itu, Sekolah Haenyeo diwujudkan khas untuk sesiapa yang berminat untuk menjadi ‘Haenyeo’. Namun begitu, generasi muda tidak lagi berminat kerana kerjaya ini amat berbahaya.

Menurut portal Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), budaya Haenyeo ini turut menjadi tarikan pelancongan di Pulau Jeju.

Selain menyumbang kepada kemajuan status wanita dalam masyarakat Korea Selatan, Haenyeo turut mempromosikan kelestarian persekitaran marin dengan kaedah dan penglibatan masyarakat dalam pengurusan amalan penangkapan hidupan laut yang mesra alam.