
Seorang lelaki nekad mengambil keputusan untuk berenang merentasi Selat Pulau Pinang untuk ke Seberang Perai sejauh kira-kira tiga kilometer pada Isnin lalu.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang semalam, lelaki berusia 28 tahun berkenaan bertindak demikian kerana tidak mempunyai surat rentas daerah bagi tujuan ke kawasan tanah besar itu dari bandar raya ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata, siasatan daripada pihaknya mendapati bahawa lelaki itu nekad terjun ke dalam laut dari Tanjung City Marina dan cuba berenang menuju ke Seberang Perai.
Namun begitu, dia telah berpatah balik menghala ke tempat pejalan kaki jeti feri sebelum berjaya diselamatkan oleh petugas Penang Port Sdn. Bhd dan dipercayai akibat kepenatan berenang.
“Lelaki itu memaklumkan, dia nekad berenang untuk berjumpa dengan rakannya selepas gagal mendapatkan kelulusan permit rentas daerah daripada pihak polis kerana tidak memberikan alasan yang munasabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semasa lelaki itu diselamatkan, sebarang dokumen pengenalan diri tidak ditemui dan hanya menyatakan butiran peribadi secara lisan.
“Menurut ibunya, dia sudah lama tidak balik ke rumahnya di Bayan Lepas. Malah, dia juga dipercayai hidup sebagai gelandangan selain didakwa merupakan penagih tegar.
Kemudian, dia dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan hasil pemeriksaan doktor mendapati bahawa lelaki itu mengalami patah tangan kanan,” tambahnya.
Selepas beberapa video dan gambar aksi lelaki itu dimuat naik ke Facebook, kejadian itu tular di media sosial semalam. Memetik laporan daripada Kosmo.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah: