Nekad Beraya Di Kampung, Pasangan Suami Isteri Ini Jalan Kaki Sejauh 278km

Demi menyambut hari raya di kampung, pasangan suami isteri, Dani, 38, dan Masitoh Aninur Lubis, 36, sanggup berjalan kaki sejauh 278 kilometer bersama dua orang anaknya melalui jalan nasional jalur selatan Jawa.

Walaupun pemerintah di Indonesia telah melarang rakyat mereka untuk pulang ke kampung, Dani dan Masitoh Ainur Lubis tidak mempedulikan hal itu dan telah berjalan kaki hampir 6 hari menuju ke Jalan Jalak Harupat Soreang Bandung di Jawa Barat.

Kedua pasangan tersebut menyusuri jalan utama dengan membawa kedua anak kecil mereka iaitu Manpa yang berusia tiga tahun lapan bulan dan juga Hanum yang berusia satu tahun lima bulan.

Mereka telah menempuhi jarak 278 kilometer bermula dari 2 Mei yang lalu menuju kampung halaman Dani di Jalan Jarak Harupat Soreang Bandung di Jawa Barat.

Tribunnews.com melaporkan pada hari Jumaat 7 Mei yang lalu bahawa Dani sekeluarga sudahpun tiba di Kabupaten Ciamis, Jawa Barat pada hari keenam mereka berjalan kaki.

Mereka ditemui ketika sedang berehat di bawah sepohon yang rendang di tepi jalan raya dengan keadaan yang cukup lusuh kerana telah kepenatan berjalan jauh.

Dani memberitahu bahawa mereka akan berhenti berehat sebelum meneruskan perjalanan mereka lagi. Pasangan itu juga berganti-ganti menggendong anak mereka sambil berjalan kaki.

Masitoh turut memberitahu mereka mempunyai empat orang anak. Eva, 16, anak sulung mereka kini sedang belajar di sebuah madrasah manakala Ihsan yang berusia 10 tahun kini tinggal bersama neneknya di Medan.

Dani sekeluarga dikatakan sudah tidak mempunyai apa-apa lagi kerena telah kehilangan pekerjaan. Lantaran itu, mereka semua telah nekad untuk berjalan kaki pulang ke kampung dari Gombong di Jakarta menuju Soreang di Bandung.

Dani turut menjelaskan bahawa niatnya untuk pulang ke kampung bukanlah atas tujuan beraya sahaja tetapi mereka ingin terus pulang untuk menetap di kampung halaman kerana mereka sudah tidak mempunyai apa-apa lagi di Gombong.

Dengan berbekalkan duit sebanyak Rp120,000 (sekitar RM50) pada awalnya, mereka memberitahu bahawa ramai orang turut menghulurkan bantuan dalam bentuk duit dan juga makanan.

Masitoh berkata mereka akan berehat di stesen pada waktu malam sekali gus menumpang untuk membersihkan diri.

Oleh sebab mereka dalam keadaan bermusafir, mereka sekeluarga terpaksa untuk tidak berpuasa dan perkara itu telah menarik perhatian ramai yang lalu-lalang ketika mereka sedang makan di tepi jalan.

Dani sekeluarga ditemukan oleh seorang lelaki bernama Abdul Muhi yang sedang dalam perjalanan dari Kertasari Ciamis ke Sindangrasa dengan menggunakan kereta.

Abdul Muhi mengatakan bahawa dia berasa hairan ketika melihat keluarga itu yang sedang makan dan minum di tepi jalan pada waktu siang di bulan puasa.

Setelah mengetahui tujuan Dani dan sekeluarga, Abdul Muhi telah memutuskan untuk menumpangkan seluruh keluarga tersebut sehingga ke Sindangrasa Jalan Sudirman, Ciamis dan mereka meneruskan perjalanan dari situ.

Keluarga kecil itu akan berjalan sejauh 25 kilometer sehingga 30 kilometer sehari-hari dan mereka menjangka akan tiba di kampung mereka pada hari kedua hari raya.

Dani memohon orang ramai untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan sepanjang perjalanan mereka ke kampung.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca