Jika ada yang perasan, rekaan jersi home pasukan Negeri Sembilan pada musim 2018 yang berwarna kuning dilihat seakan-akan rupa jersi kelab tersohor Bundesliga iaitu Borussia Dortmund 2017/18.


Kami tinggalkan kepada pembaca untuk ulas dan senyum nipis tentang perihal ‘sama tapi tidak serupa’ di atas. Apa boleh kami katakan, dengan jersi seakan-akan kembar kepada Borussia Dortmund pada musim lalu itu, Negeri Sembilan telah berjaya menduduki tangga tercorot Liga Super 2018 lalu terhumban pedih jatuh ke saingan Liga Premier untuk musim 2019. Nyata sekali gagal ‘meniru’ aksi Borussia Dortmund yang mengakhiri musim mereka di tangga ke-4 Bundesliga.
Enggan berduka terlalu lama, Negeri Sembilan kembali fokus mencari rentak permulaan hidup baru dalam Liga Premier 2019. Dengan sokongan pengeluar pakaian sukan berkredibiliti, Rhino, Negeri Sembilan telah melancarkan jersi baru mereka untuk musim 2018/19 di Mydin Mall, Seremban 2 yang terdiri daripada home, away dan 3rd kit.
Dibanjiri ribuan peminat yang nyata teruja dengan pelancaran jersi baru pasukan kesayangan mereka itu, lebih 1000 helai jersi telah berjaya dijual dalam masa 2 jam! Padu beb!
Menurut Pengerusi Rhino SEA, Nizamuddin Hamid, “Kerjasama antara Rhino dan Negeri Sembilan pada musim ini adalah titik permulaan baru buat pasukan yang ingin kembali menggempur aksi Liga Malaysia.”
Beliau berkata pihaknya amat berbesar hati dapat berkerjasama dengan pasukan kebanggaan Negeri Sembilan itu. Katanya lagi, jersi pasukan PBNS yang terbaharu itu dicipta untuk keselesaan pemain agar dapat mencapai prestasi maksimum.
“Negeri Sembilan punya ramai sekali penyokong yang kita boleh kategorikan sebagai die hard fan. Musim lalu, walaupun Negeri Sembilan tidak berjaya menampilkan aksi yang memuaskan, purata kehadiran penyokong adalah seramai 7000 orang pada setiap game. Itu angka yang cukup membanggakan.”
Untuk rekod, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi yang kali terakhir dinaik taraf pada 2004 boleh memuatkan seramai 45,000 orang penonton. Jika mengambil kira budaya sokongan dalam kalangan para peminat Malaysia secara menyeluruh, jumlah purata 7000 orang penonton adalah sangat baik untuk pasukan yang tidak berapa memuaskan persembahannya pada tahun lalu.
Melihatkan semangat para pemain, pihak pengurusan dan penaja berserta sokongan padu para peminat semasa pelancaran jersi sebentar tadi, Negeri Sembilan dijangkakan akan memberi cabaran hebat dalam saingan Liga Premier 2019 sesuai dengan matlamat mereka untuk kembali ke Liga Super pada musim berikutnya.
Kepada para peminat Negeri Sembilan yang ingin mendapatkan jersi mantap keluaran Rhino ini, bolehlah berbuat demikian di Rhino Store bertempat di Rahang Square mulai 15 Februari 2019. Jersi dijual pada harga RM139.
Hoben Jang Hoben!
View this post on InstagramA post shared by Rhino Southeast Asia (@rhinosea) on