Pasti ramai pembaca di sini yang merupakan pencinta kucing. Siapa sahaja yang tidak suka dengan makhluk comel itu melainkan mereka yang mempunyai alahan dengan bulu kucing.

Malah, ada juga segelintir yang mempunyai alahan tetapi tetap ingin membelai mahkluk yang cukup disayangi di seluruh dunia ini kerana tidak tahan dengan wajahnya yang comel. Kesudahannya, habis gatal-gatal satu badan!

Menjaga haiwan bernama kucing ini sememangnya memberi pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan kepada pencinta kucing. Ada yang menganggap kucing sebagai keluarga sehinggakan apabila ia menghembuskan nafasnya yang terakhir, pemiliknya seolah-olah hilang ahli keluarganya sendiri.

Ada kajian yang mengatakan bahawa kucing merupakan terapi dan mampu mengurangkan stres seseorang. Walaupun ia tidak sepintar anjing malah ada yang tidur sepanjang masa, melihat kelibatnya sahaja boleh membahagiakan hari seseorang. Tapi, persoalannya sekarang, negara mana yang mempunyai pencinta kucing paling ramai?

Secara purata, negara yang mempunyai pencinta kucing paling ramai merupakan negara Rusia iaitu 59% daripada penduduk di sana membela sekurang-kurangnya seekor kucing di rumah masing-masing. Agaknya, kenapa kucing begitu popular di Rusia?

Hal ini demikian kerana negara Rusia sebelum ini pernah mempunyai sejarah dengan kucing. Pemerintah Rusia pada kurun ke-18 iaitu Ratu Elizabeth Petrovna pernah memelihara makhluk comel ini di dalam istana. Beliau berbuat demikian bagi memastikan istana itu bebas daripada haiwan perosak iaitu tikus.

Kucing-kucing peliharaan beliau dilayan dengan istimewa sekali dan diberi makanan yang mewah setiap hari. Membela kucing sebagai haiwan peliharaan kini menjadi tradisi penduduk di Rusia.

Hermitage Museum di Rusia turut meneruskan tradisi tersebut dengan membela sekurang-kurangnya 70 ekor kucing di dalam bangunan tersebut. Malah, kucing-kucing itu dibiarkan hidup secara bebas dan bukannya dikurung di dalam sangkar.

Bukan itu sahaja, terdapat penjaga khas yang menjaga kucing-kucing tersebut. Malah, terdapat setiausaha media yang menguruskan segala janji temu sekiranya kucing-kucing itu mahu ‘ditemu ramah’ oleh pihak media. Setiap 1 Mac pula, Hari Kucing Kebangsaan akan disambut di Rusia. Bukan biasa-biasa!

Ukraine pula berada di tempat kedua yang mempunyai paling ramai pencinta kucing manakala Amerika Syarikat berada di tempat ketiga. Macam mana pula dengan Malaysia?

Negara kita berada di tempat keenam di mana kita berkongsi kedudukan dengan Chile, Itali dan Emiriyah Arab Bersatu. 40% penduduk di negara-negara ini membela kucing sebagai haiwan peliharaan mereka. Walau bagaimanapun, Malaysia berada di tempat pertama dalam satu lagi perkara yang melibatkan haiwan comel ini iaitu rakyat kita paling gemar untuk membela banyak kucing dalam satu masa.

Walaupun Rusia dikatakan mempunyai paling ramai pencinta kucing, rata-ratanya hanya membela seekor kucing sahaja di kediaman masing-masing. Berbeza pula dengan Malaysia, kajian mendapati bahawa 17% daripada penduduk kita memelihara 3 ekor kucing atau lebih.

Tahniah diucapkan kepada rakyat Malaysia kerana membuktikan bahawa kita merupakan rakyat yang penyayang terhadap haiwan. Mampukah kita menewaskan negara Rusia suatu hari nanti dalam mengorak langkah ke tempat pertama negara yang mempunyai pencinta kucing paling ramai? Meow!

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda