Syarikat pengeluar rokok elektronik tempatan, NCIG (Malaysia) Sdn. Bhd. (NCIG) yang mula beroperasi sejak Januari lalu dilaporkan akan menghentikan operasinya di negara ini dalam tempoh terdekat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NCIG iaitu Sharifuddin Bujang, penutupan operasi itu adalah disebabkan ketiadaan peraturan berkenaan kandungan nikotin rokok elektronik yang dibenarkan di negara ini.
Ketiadaan peraturan berkenaan sekali gus menyebabkan pihaknya cuma boleh memperkenalkan produk cecair rokok elektronik yang mengandungi sifar nikotin untuk pasaran tempatan.
Katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian, syarikat itu bakal menumpukan pelaburan untuk pasaran luar negara yang mempunyai peraturan bagi produk rokok elektronik khususnya di United Kingdom (UK) dan Indonesia.
“Ini keputusan yang sukar dibuat kerana kami mempunyai lebih 700 pekerja yang akan kehilangan pekerjaan berikutan penutupan operasi ini,” kata Sharifuddin.
“Namun, kami tiada pilihan kecuali menumpukan operasi di luar negara,” ujarnya kepada media selepas Forum Antarabangsa Rokok Elektronik Dari Perspektif Global di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) pada Sabtu.
Forum anjuran NCIG itu turut menampilkan pakar vape dari University of Patras, Greece, Dr. Konstantinos Poulus dan Timbalan Dekan (Jaringan dan Penjanaan), Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh sebagai ahli panel.
Sharifuddin mengatakan bahawa matlamat utama syarikat itu mengeluarkan produk rokok elektronik adalah untuk menghentikan ketagihan merokok dalam kalangan rakyat negara ini.
“Kami mahu meningkatkan kualiti hidup perokok dan keluarga mereka supaya menghentikan ketagihan merokok selama-lamanya,” katanya.
Sementara itu, menurut Dr. Konstantinos, sejak vape mula diperkenalkan di negaranya, jumlah perokok dapat dikurangkan sehingga 32 peratus.
“Semakin ramai yang beralih kepada rokok elektronik dan meninggalkan tabiat merokok terutama dalam kalangan perokok tegar,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Sharifa Ezat pula berpendapat yang rokok elektronik tidak bagus buat remaja yang baru belajar merokok kerana ia boleh merosakkan paru-paru mereka.
“Saya harap golongan remaja mengelak mencuba vape kerana sekali mencuba boleh menimbulkan ketagihan,” katanya.