Nasib Remaja Didakwa Sebabkan Kematian 23 Penghuni Tahfiz Bakal Diketahui Hari Ini

Nasib seorang remaja lelaki yang didakwa menjadi punca kematian 23 individu dalam tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hampir tiga tahun lalu bakal diketahui hari ini. Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah dijadualkan membuat keputusan itu pada jam 2.30 petang.

Memetik laporan Astro Awani, pihak pembelaan mengakhiri kes mereka pada 19 Jun lalu selepas memanggil enam orang saksi.

Pada 28 Januari 2020, Azman memerintahkan remaja tersebut yang berusia 16 tahun ketika didakwa melakukan kesalahan berkenaan untuk membela diri. Ini selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang kini berusia 19 tahun.

Mahkamah bagaimanapun mengambil keputusan untuk membebaskan seorang lagi individu yang seusia remaja itu yang dituduh bersama-samanya tanpa dipanggil membela diri.

Sumber: Head Topics

Menurut pertuduhan yang dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicamkan didakwa telah menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz tersebut yang bertempat di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 14 September 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori sekiranya sabit kesalahan.

Walau bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati.

Ia sebaliknya boleh diganti dengan hukuman penjara dalam tempoh yang diperkenankan oleh Yang Di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Pendakwaan ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim sementara tertuduh diwakili peguam Haijan Omar.

Difahamkan, seramai 71 orang saksi tampil memberi keterangan semasa peringkat pendakwaan yang bermula pada 30 Mei 2018.

Untuk rekod, tragedi menyayat hati itu telah mengorbankan 21 orang pelajar dan dua guru yang terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca