Nasi Tumpang, Nasi Tumpeng Atau Nasi Tupe? Ini Adalah Perbezaannya

Sudah semestinya anda hanya pernah mendengar nama nasi tumpang atau nasi tupe sahaja kan? Sebenarnya terdapat lagi satu nasi yang namanya seakan sama iaitu nasi tumpeng. Namun, apa yang membezakan nasi tumpang atau tupe ini dengan nasi tumpeng?

Nasi tumpeng adalah juadah tradisional daripada negara jiran iaitu Indonesia. Manakala nasi tumpang atau dalam dialek Kelantan, nasi tupe pula merupakan makanan tradisi orang Malaysia khususnya dari negeri Pantai Timur.

Nasi Tumpeng

Nasi tupe kini telah menjadi juadah warisan kebangsaan setaraf dengan nasi lemak, pulut kuning dan juga nasi dagang. Manakala nasi tumpeng pula adalah makanan tradisional bagi kaum Jawa dan menjadi juadah utama sewaktu berlangsungnya majlis keraian. 

Secara dasarnya, nasi tupe ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri iaitu merupakan makanan bagi masyarakat yang bekerja khususnya nelayan dan juga pesawah padi. Mereka membungkus nasi dalam kelongsong kon dan diselang-seli dengan lauk pauk supaya senang untuk dimakan dan juga tidak perlu membawa bekas seperti mangkuk tingkat untuk menjamu selera sewaktu berehat.

Manakala nasi tumpeng pula merupakan makanan yang mempunyai simbol tersendiri bersesuaian dengan identiti mereka yang menjadikan sesuatu perkara itu sebagai simbol untuk menaikkan semangat mereka.

Apa yang menariknya adalah susunan nasi tumpeng ini, kerana setiap susunannya mempunyai maksud yang tersendiri seperti bentuk nasi yang dihidangkan melambangkan gunung berapi khusunya Gunung Mahameru yang dahulunya sebagai rumah Hyang iaitu semangat nenek moyang masyarakat Indonesia.

Nasi Tumpang @ Tupe

Nasinya yang berwarna kuning pula melambangkan sebagai kekayaan dan juga kebaikan. Manakala lauknya juga mempunyai maksud yang tersendiri dan salah satu daripadanya adalah  ayam. Ayam yang digunakan adalah ayam jantan dan perlu dimasak dalam kelapa yang dipanggil ayam bekakak. Ia melambangkan maruah dan kekuatan sesebuah keluarga.

Nasi tupe jauh berbeza dengan nasi tumpeng kerana salah satunya adalah ia merupakan makanan tradisi yang diwarisi turun temurun dan bukannya makanan yang melambangkan sesuatu perkara. Nasi yang dimasak selama lebih dua jam supaya lembut seakan nasi impit dan diisi berselang-seli dengan lauk pauk seperti kerutuk daging atau ayam, gulai udang dan juga serunding yang dibungkus dalam kelongsong kon daun pisang mengidentitikan dengan sendiri juadah tersebut.

Namun selari dengan peredaran zaman, nasi tupe menjadi semakin moden dan kini kebanyakannya dibungkus menggunakan kertas pembungkus makanan bukannya dengan daun pisang khususnya di kawasan bandar kerana kekurangan stok daun pisang.

Tetapi ia tidak menghalang kesedapan juadah tersebut yang menjadi kegemaran kepada semua masyarakat tidak kira peringkat umur. Ia berlainan dengan nasi tumpeng Indonesia kerana sehingga sekarang mereka masih mengekalkan cara tradisional demi menjaga tradisi mereka.

Penulis:

  • Muhamad Aris Bin Aziz adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan makanan, klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca