Foto Sayu Penantian Nala, Jaringan Gol Nantes Pada Minit Ke-9 Dan Kemenangan Cardiff City Menyuntik Rasa Penuh Emosi Susulan Kehilangan Emiliano Sala

Selepas dua hari menandatangani perjanjian untuk menyertai pasukan Liga Perdana Inggeris, Cardiff City dengan nilai harga £15 juta (RM79.5 juta) yang mencatat rekod perpindahan termahal kelab, Emiliano Sala dikhabarkan hilang dari radar ketika berada di dalam penerbangan dari Perancis ke Cardiff menaiki sebuah pesawat ringan jenis Piper FA-46 Malibu.

“Saya sekarang berada di dalam pesawat yang keadaannya seakan ingin runtuh dan saya akan bertolak ke Cardiff,” ujar Emiliano Sala melalui mesej audio WhatsApp seperti yang dilaporkan oleh media Argentina.

“Jika tiada berita daripada saya dalam masa satu jam, saya tidak tahu jika mereka akan hantar orang untuk mencari saya dan jika mereka tidak dapat mencari saya, harap semua faham. Saya sangat takut.” tambah Sala.

Beberapa hari lepas, kakak Emiliano Sala, Romina, berkongsi foto yang memaparkan anjing kepunyaan Emiliano Sala, Nala di Facebook:

“Nala juga sedang menunggumu.”

Nala dirakamkan sedang menghadap pintu seolah-olah setia menanti kepulangan tuannya. Dilaporkan Nala sudah dipelihara oleh Emiliano Sala sejak 2015.

Sala dikatakan mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan anjingnya, dan dilaporkan bahawa Nala adalah salah satu sebab pemain bola sepak yang sedang meningkat naik itu kembali ke Perancis selepas menandatangani perjanjian bersama Cardiff City di Wales.

Difahamkan pemain kelahiran Argentina itu telah mengambil dan membawa Nala ke kandang dan sedang dalam proses memindahkannya ke Wales untuk tinggal bersamanya.

Kelmarin, media melaporkan pasukan pencari telah berjaya mengesan mayat di dalam bangkai pesawat Piper Malibu yang dikesan di dasar laut di persisiran pantai Guernsey.

Sementara itu, kelab Emiliano Sala sebelum ini, Nantes telah berjaya menumpaskan Toulouse dalam saingan Piala Perancis dengan keputusan 2-0. Apa yang menarik, gol pertama Nantes telah dijaringkan pada minit ke-9. Nombor 9 adalah jersi yang dipakai oleh Emiliano Sala ketika menyarung jersi Nantes selama 3 tahun setengah.

Di Liga Perdana Inggeris, kelab baru Emiliano Sala, Cardiff City turut berjaya meraih kemenangan dengan jaringan yang sama, 2-0 ke atas Bournemouth.

Artikel Lain Untuk Di Baca