“Nama Yang Tertera Adalah Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman.” – Mufti Wilayah Persekutuan

Jantina ahli perniagaan sensasi Nur Sajat telah didapati dilahirkan dan didaftarkan sebagai lelaki.

Maklumat berkenaan berjaya diperoleh hasil pertemuan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kelmarin.

Menurut Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yakni Mufti Wilayah Persekutuan, nama yang tertera pada kad pengenalan penama yang diperoleh melalui JPN adalah Muhammad Sajaad Kamaruz Zaman.

“Jantina penama telah didaftarkan sebagai lelaki. Melalui semakan lanjut pada sijil kelahiran beliau juga mendapati beliau dilahirkan sebagai lelaki,” jelasnya dalam satu kenyataan menerusi laman sosial Facebook, semalam.

Tambah Mufti Wilayah Persekutuan itu lagi, tidak ada dokumen rasmi perubatan yang dikemukakan oleh Nur Sajat sehingga kini yang dapat membuktikan beliau adalah wanita.

“Berdasarkan Arahan Jabatan Pendaftaran Negara Bil. 9/2007 perenggan 5.7.1, pindaan jantina dalam kad pengenalan adalah tidak dibenarkan kecuali atas perintah mahkamah,” katanya.

Jelas beliau lagi, isu pengesahan jantina melibatkan pakar perubatan dan ia berada di bawah urusan Jakim.

“Hanya atas dasar tanggungjawab dan amanah maka, PMWP mengambil langkah bertemu JPN kelmarin bagi mendapatkan pengesahan butiran lengkap beliau yang tersebar di media sosial,” katanya.

Sementara itu, Dr. Zulkifli berkata, agensi pengelola umrah yang menguruskan ibadah umrah usahawan kosmetik itu wajib bertanggungjawab ke atas hal yang berlaku.

Menurutnya, pihak berkenaan sepatutnya memelihara dan membimbing jemaah supaya mengikut hukum syarak serta undang-undang setempat. Selain itu, panduan serta peringatan harus diberi agar kehendak ibadat berjaya ditepati.

Meskipun mematuhi rukun umrah, Dr. Zulkifli menjelaskan perbuatan mengenakan pakaian tidak mengikut jantina asal tetap haram dan berdosa.

Malah, Sajat dikatakan boleh dikenakan dam kerana telah melanggar wajib umrah dan masalah itu digelar oleh fuqaha sebagai infikak al-jihah (hukum yang terpecah kepada beberapa bahagian).

Menerusi kertas kerja bertajuk Khunsa dan Mukhannas Dalam Permasalahan Ibadat Haji, Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-28 Musim Haji 1433H turut merumuskan bagi transgender semula jadi atau yang disengajakan supaya mengikut hukum asal kejadian dirinya.

“Dalam isu ini, Muhammad Sajjad wajib secara syarak sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran dan hadis untuk beribadah dan berpakaian seperti jantina asalnya,” katanya.

Terdahulu, ahli perniagaan kontroversi Muhammad Sajjad atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat telah menimbulkan kekecohan di media sosial setelah beliau memuat naik gambarnya memakai telekung seperti jemaah wanita saat menunaikan umrah di Tanah Suci bersama keluarga.

Untuk membaca artikel lain berkaitan Sajat di Tanah Suci, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca