Nama Kuala Lipis Diambil Sempena Sejenis Tumbuhan? Ketahui Sejarah Ringkas Bandar Ini

Ada yang mengatakan nama ‘Lipis’ dipercayai diambil bersempena dengan sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai Serau Lipis (Pavetta Indica). Memandangkan lokasi bandar ini terletak di kuala Sungai Lipis, maka ia dinamakan Kuala Lipis.

Selain itu, nama Kuala Lipis juga didapati berasal daripada perkataan ‘lepas’. Pada suatu ketika dahulu, sungai adalah alat perhubungan utama dan terpenting bagi masyarakat Melayu. Sungai Lipis dan Sungai Jelai membolehkan penduduk kampung di sepanjang sungai tersebut ‘lepas’ ke sana dan ke mari. Dalam erti kata lain, mereka bebas untuk ke mana-mana.

Jadi, apabila mereka berhajat untuk pergi ke bandar, mereka akan berkata, “Keh nok ke Kolepas (Kuala Lepas)”. Namun, lama-kelamaan perkataan ‘lepas’ itu bertukar menjadi ‘lipis’ dan bandar itu pun dikenali sebagai Kuala Lipis atau Kolepih atau Kolepeh mengikut loghat orang-orang Kuala Lipis.

Kedudukan Kuala Lipis juga amat strategik iaitu di pertemuan 3 sungai termasuklah Sungai Pahang, Sungai Jelai dan Sungai Lipis. Kuala Lipis juga boleh dikatakan menjadi penempatan terawal di Pahang. Kuala Lipis telah mula didiami manusia sejak 2500 hingga 2400 tahun yang lampau.

Kajian arkeologi telah menjumpai banyak artifak, antaranya ‘Pisau Tembeling’ iaitu alat yang digunakan oleh manusia pada Zaman Neolitik. Penempatan manusia di sini berterusan hingga beribu-ribu tahun selepas Zaman Neolitik.

Hal ini demikian kerana kedudukan geografinya yang strategik terletak berhampiran dengan sungai. Di sinilah punca air boleh didapati dengan mudah di samping ia merupakan antara jalan pengangkutan utama pada masa tersebut.

Tahukah anda Kuala Lipis merupakan ibu negeri Pahang yang pertama? Setelah Inggeris memerintah Pahang, Inggeris telah menjadikan Kuala Lipis ibu negeri pada penguhujung bulan Jun 1898 mengantikan Pekan.

Pada 27 Ogos 1955, ibu negeri Pahang dipindahkan pula ke Kuantan. Sebagai bandar utama pada masa itu, Inggeris telah membuka Pusat Pentadbiran Negeri dan sebuah sekolah yang dikenali sebagai Sekolah Clifford yang mendapat nama daripada Sir Hugh Clfford, residen pertama British di Negeri Pahang.

Inilah serba sedikit sejarah ringkas yang dapat saya kupaskan. Jadi, jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang sejarah Kuala Lipis, tunggu artikel seterusnya.

Dengar cerita, Lejen Press ada terbitkan sebuah komik berkonsepkan travelogue yang berjudul Pahang, Koi Datang! Ia juga datang dalam versi bahasa Inggeris iaitu Pahang, Here I Come! Sekiranya anda ada perancangan untuk berkunjung ke sana, bolehlah dapatkan komik ini dulu kerana terdapat pelbagai maklumat termasuklah tempat tinggal, tempat makan menarik dan tempat-tempat yang patut anda kunjungi di Pahang. Jadi, tunggu apa lagi?

Penulis

  • Shahrul Azfar Badarzaman adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca