Siapa tidak kenal dengan kumpulan muzik seperti Green Day, ACDC atau Avenged Sevenfold? Rata-rata peminat muzik pasti pernah mendengar lagu daripada kumpulan tersebut. Tapi, tahukah anda bagaimana kumpulan ini mendapat nama? Sangat seronok untuk membaca kisah-kisah kreatif kumpulan ini memilih nama. Ada yang memilih daripada perkataan yang ditemui, ada yang mendapat inspirasi tertentu dan barang-barang di sekeliling mereka.

Berikut kami kongsikan tiga asal usul nama kumpulan muzik terkenal:

1. Green Day

Green Day merupakan antara kumpulan rock terkenal di dunia. Pasti ramai tidak tahu nama kumpulan ini sebenarnya berasal daripada satu tabiat yang buruk. Pada awalnya, kumpulan ini dikenali sebagai Sweet Children semasa merakam demo pertama pada tahun 1989 dan menukar nama pada tahun 1990 kepada Green Day. Istilah ‘Green Day’ merupakan slanga masyarakat di kawasan mereka di mana seseorang itu melepak sepanjang masa sambil menghisap ganja.

Istilah itu diperkenalkan oleh rakan kepada Billie Joe, vokalis kumpulan Green Day semasa mereka sedang berehat sambil berkhayal. Billie mencipta sebuah lagu bertajuk ‘Green Day’ yang menceritakan tentang pengalamannya menghisap ganja sebelum menggunakan nama lagu tersebut sebagai nama kumpulan secara rasmi.

2. Avenged Sevenfold

Avenged Sevenfold adalah kumpulan metal terkenal. Nama kumpulan ini diambil daripada kisah yang terdapat dalam kitab Bible. Kisah ini menceritakan tentang adik beradik, Cain dan Abel, anak kepada Adam dan Eve. Dalam petikan yang diambil daripada bab Genesis 4:24 itu yang berbunyi “If Cain shall be avenged sevenfold, Truly Lamech seventy and sevendfold.”

Walaupun diambil dalam kitab Bible, mereka mengakui sebenarnya mereka jarang membaca Bible.

3. ACDC

Nama kumpulan gergasi ini sangat mudah untuk diingat dan logonya paling banyak dicetak di atas baju. Kisah di sebalik nama ACDC ini agak kelakar dan tidak mempunyai sifat ‘rock and roll’. Adik-beradik Malcolm dan Angus Young tidak mempunyai idea untuk menamakan kumpulan mereka. Adik mereka, Margaret terlihat label pada mesin jahit keluarga mereka yang bertulis AC/DC iaitu ‘Alternating Current/Direct Current’.

Mereka berdua menggunakan singkatan itu dan meletakkan logo petir supaya menunjukkan simbol tenaga yang mereka ada.

Nama kumpulan yang kreatif mampu menarik perhatian penggemar muzik. Jika anda ingin menubuhkan kumpulan muzik, pastikan memilih nama yang menarik seperti kongsian kami.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
Sumber:

Iluminasi