Search
Close this search box.

“Nak Yang Dara, Awak Teruna Ke?”, Hazeman Huzir Bidas Kecaman Warganet Berkenaan Isu Wang Hantaran RM15,000

Perdebatan tentang isu wang hantaran masih belum reda dalam kalangan warganet. Majoriti masih menyelar kenyataan gadis yang meletakkan hantaran RM10,000 hingga RM15,000 kerana dirinya mempunyai ijazah. Rata-rata berpendapat bahawa jumlah itu langsung tidak masuk akal, lagi-lagi bila dikaitkan dengan tahap pembelajaran seseorang.

Dalam pada itu, di saat ramai yang membidas gadis berkenaan termasuklah penyanyi rap iaitu Caprice, pengacara program Motif Viral, Hazeman Huzir turut tampil memberi pandangannya berkenaan isu ini.

Hos yang terkenal dengan nama Haze itu mempersoalkan kenapa kes wang hantaran ini menjadi isu besar sedangkan ia merupakan adat dan bukannya perkara yang wajib.

Haze turut membidas mereka yang meninggalkan komen berbaur hinaan seperti, “Bayar RM15,000, tapi lobos macam mana?” Dia menyindir warganet yang mencoret komen sedemikian dengan mempersoalkan sama ada mereka ini pakar sakit puan kerana sifat mereka yang serba tahu itu. Malah, Haze turut menyelit soalan yang berbaur sindiran, “Nak yang dara, awak teruna ke?”

Pada masa yang sama, Haze mengingatkan semua orang bahawa kedua-dua pengantin lelaki dan wanita mempunyai hak untuk memilih. Sudah terang lagi bersuluh bahawa gadis yang tular itu tidak meminta RM15,000 daripada lelaki-lelaki yang mengecamnya bagaikan tiada hari esok. Persoalannya, kenapa mereka ini triggered seolah-olah wang simpanan mereka (jika ada) lenyap setelah mendengar kenyataan daripada gadis itu?

Haze juga mengutarakan pendapatnya tentang komen selebriti terkenal, Lisa Surihani di posting Caprice berkenaan isu ini di mana Lisa mencoret, “We lack of financial literacy.” Tulis Haze di laman Twitternya, perlukah seseorang itu mengambil pinjaman RM15,000 semata-mata untuk wang hantaran sekiranya ia benar-benar di luar kemampuannya?

Pengacara ini juga sempat berseloroh dengan mengatakan bahawa dirinya bukanlah penggemar pepatah Tun Mahathir, “Melayu mudah lupa”. Sebenarnya, Melayu tidak mudah lupa. Kadang-kadang, Melayu itu terlebih ingat. Ingatkan adat jadi wajib.

Apa-apa pun, setiap orang mempunyai pandangan masing-masing. Namun, ada betulnya juga apa yang Haze katakan.

Seandainya anda terkesan dengan apa yang diucapkan oleh gadis yang kini terkenal dengan julukan ‘Gadis 15k’ itu, jangan buang masa anda menjadi keyboard warrior di samping ‘menambahkan’ kerja Malaikat ‘Atid. Hakikatnya, bukan anda yang nak berkahwin dengan gadis tersebut.

Artikel Lain Untuk Di Baca