Najib Luah Kekecewaan, Celcom Bukan Lagi Milik Malaysia

Axiata Group Berhad atau dahulunya dikenali sebagai TM International Berhad dan Telenor ASA mengumumkan bahawa Celcom dan Digi akan bergabung dan akan menjadi syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia.

Gabungan ini sudah semestinya akan memberikan impak yang besar terhadap pasaran Asia Selatan dan Tenggara untuk kedua-dua syarikat berkenaan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Axiata mengatakan bahawa kedua-dua pihak akan berusaha untuk memuktamadkan perjanjian dalam tempoh suku ketiga 2019.

Perjanjian tersebut bakal menyaksikan Telenor memiliki dan menguasai syarikat baru itu dengan kepentingan saham 56.5 peratus manakala 43.5 peratus oleh Axiata.

Gabungan kedua-dua syarikat itu akan menghasilkan pendapatan bersama sebanyak RM50 bilion, sementara keuntungan sebelum cukai (EBITDA) yang bakal diraih adalah sebanyak RM20 bilion.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengkritik penggabungan syarikat telekomunikasi itu dan mengatakan bahawa Celcom bukan lagi syarikat telekomunikasi Malaysia dan menjadi syarikat negara Norway.

“Kebiasaannya untuk gabungan syarikat dalam industri yang sama, ramai di Celcom dan DiGi bakal kehilangan pekerjaan mereka. Sebelum PRU-14, syarikat Axiata adalah satu syarikat menguntungkan,” katanya.

Penggabungan Digi dan Celcom itu dijangka selesai pada suku keempat tahun ini. Pada masa yang sama, proses untuk mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa termasuklah Bursa Malaysia sedang dijalankan.

Artikel Lain Untuk Di Baca