Luah Rasa Diri Dan Bakat Tidak Dihargai, Warganet Bimbang Naim Daniel Alami Kemurungan

Sejak akhir-akhir ini, makin ramai yang mengalami masalah kemurungan atau kita sering sebut sebagai depression. Lebih membimbangkan, kemurungan merupakan salah satu penyakit yang boleh membawa maut seperti yang menimpa penyanyi dan pelakon terkenal Korea, Sulli serta atlet renang Sarawak, Aryton Lim.

Terbaharu, perhatian warganet kini tertumpu kepada penyanyi dan pelakon berbakat tanah air iaitu Naim Daniel apabila dia telah memuat naik satu foto berserta coretan di laman Instagram yang menunjukkan seolah-olah dia sedang mengalami kemurungan.

Menerusi posting berkenaan, Naim yang mula dikenali ramai menerusi single berjudul Sumpah itu meluahkan isi hati yang terbuku selama ini di mana dia seolah-olah kecewa dengan tanggapan segelintir pihak terhadap golongan seni.

View this post on Instagram

Nasib awaklah, penghibur. Awak ada masalah sebelum show, orang tak peduli. Orang cuma tahu nak berhibur. Kalau awak terlepas pandang sorang peminat, dibilangnya angkuh. Awak tak boleh buat silap ya. Jangan sekali. Sebab orang akan lupa segala satu benda manis yang pernah awak kerjakan. Kalau ada rezeki lebih, siap kena kecam di laman sosial. Nasib awaklah, penghibur. Pekerjaan awak ini mungkin nombor 900 yang penting di dunia, kalau boleh lagi murah rate awak, lagi orang nak. Lagi kesian bila orang tanya “Main alat muzik/menyanyi je pun takkanlah mahal?” Padahal mereka lupa, selain beruang, manusia juga perlu cari makan. Kita masih perlu membayar segala bil dan belanja. Tapi yalah, awak penghibur, mana logik bayar mengikut kemahiran awak kan? Nasib awaklah, penghibur. Orang beranggapan awak kalis makian, memang menjadi bahan punching bag mulut masyarakat, sampaikan makan minum, bangun tidur awak pun sering terfikir apa orang akan kata. Nasib awaklah, penghibur. Tika awak leka menghibur, hati awak yang terkubur. Nasib awaklah, penghibur.

A post shared by Naim Daniel (@naimdanielx) on

Apabila dihayati semula, tulisan Naim itu seakan-akan menggambarkan para peminat langsung tidak menghargai hasil kerja seorang penghibur sepertinya.

Perkongsian pelakon yang memegang watak Budi dalam drama Pia itu berjaya mencuri perhatian warganet. Tinjauan kami di ruangan komen mendapati terdapat beberapa rakan artis termasuklah Ismail Izzany, Ruhainies dan Sarah Suhairi yang turut meninggalkan komen di posting berkenaan. Ruangan komen juga dihujani dengan ucapan para peminat yang memberikan kata-kata semangat buat Naim.

Sesungguhnya, kemurungan dan tekanan itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Sekiranya anda tergolong dalam kalangan mereka yang derita penyakit kemurungan, anda boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders, sebuah badan NGO yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari dan 7 hari seminggu.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan. Butiran lanjut mengenai Befrienders di negeri-negeri lain boleh didapati di laman sesawang Befrienders.

Apa-apa pun, kami harap Naim baik-baik sahaja. Kami di Lejen Press Digital hargai bakat dan karya Naim. Selamat maju jaya!

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca