Keputusan taman tema National Enquirer di Amerika Syarikat menjadikan tragedi kematian Puteri Diana sebagai salah satu tarikannya telah mendapat perhatian warganet.
Nahas jalan raya yang mengorbankan Puteri Diana pada 31 Ogos 1997 di Paris, Perancis itu dilakonkan semula dan bayaran sebanyak £20 (RM106.17) dikenakan kepada orang dewasa yang ingin menonton tragedi berkenaan.
Pada masa yang sama, kanak-kanak turut dibenarkan untuk menyaksikan lakonan semula nahas terbabit.
Selain itu, sebaik sahaja ‘pertunjukan’ itu tamat, para pengunjung boleh membuat undian sama ada kerabat Diraja terlibat dalam kematian Puteri Diana atau tidak.
Menurut pencipta tarikan itu, Robin Turner, ia merupakan model berkomputer di mana para pengunjung boleh melihat Paris dalam keadaan tiga dimensi (3D).
“Ia diprojekkan dan anda melihat bangunan dan semuanya dalam pertunjukan 3D.”
“Ia menunjukkan laluan beliau (mendiang Puteri Diana) selepas meninggalkan hotel Ritz, dikejar paparazi dan bagaimana nahas berlaku,” katanya.
Tambah Turner yang juga merupakan salah seorang pelabur di taman tema itu, pengunjung berpeluang melihat imej mayat Puteri Diana secara dekat.