Nafi ‘Scam’ Vendor Festival Raya, Boy Iman Dakwa Diri Kena Aniaya

Pelakon dan ahli perniagaan Boy Iman serta tiga individu lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada hari ini di atas pertuduhan menipu berhubung penganjuran festival beli-belah Hooray X Fest Raya.

Memetik laporan Harian Metro, Boy atau nama sebenarnya Norul Iman Abdul Rahman, Norazah Sahud, Norzana Rapie dan Nor Azmi Jantan bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Boy dakwa diri kena aniaya

Sumber: Harian Metro

Kosmo melaporkan ahli perniagaan berusia 43 tahun itu sempat memohon doa orang ramai dan mendakwa dirinya telah dianiaya, “Doakan saya ya. Teraniaya ni.”

Pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abdul Halim.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa telah menipu Siti Wardina Basir dengan memperdaya mangsa dalam urusan penjualan dan penyewaan tapak perniagaan sempena festival Hooray X Fest Raya sehingga mendorong wanita itu menyerahkan wang RM1,500.

Kesalahan itu dilakukan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pada jam 2.34 pagi 19 April lalu.

Semua tertuduh mohon ikat jamin paling rendah

Sumber: The Vocket

Bagi kesalahan memperdaya mangsa dalam urusan penjualan dan penyewaan tapak perniagaan sehingga mendorong wanita itu menyerahkan wang RM1,500, keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu tahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin yang mengendalikan kes turut menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh.

Walau bagaimanapun, kesemua tertuduh yang diwakili peguam Mohamad Syakir Mohamad Fauzi dan Earnest Azad memohon ikat jamin paling rendah kerana masing-masing mempunyai tanggungan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin RM3,000 setiap seorang dengan satu orang penjamin dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada pihak mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes pada 13 Jun

Dalam pada itu, sebutan semula kes ini ditetapkan pada 13 Jun depan.

Seorang lagi tertuduh berusia 23 tahun tidak dituduh bersama kerana dia telah dimasukkan ke hospital.

Lelaki itu yang juga merupakan pengarah syarikat difahamkan akan didakwa sebaik keluar hospital.

Apa pendapat anda?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca