Muzium Putus Cinta Di Croatia Ini Menyimpan 1001 Kisah Cinta Dan Kehilangan

Putus cinta itu memang pedih. Jika ada yang sedang patah hati, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian sebenarnya dan ramai lagi yang senasib. Namun begitu, hidup ini perlu diteruskan selagi diizinkan-Nya untuk terus bernafas. Biar putus cinta, jangan putus asa. Jika anda mahu membawa hati yang lara ke Croatia, mungkin boleh singgah di Museum of Broken Relationship ini.

Muzium ini diasaskan oleh dua orang seniman iaitu Olinka Vistica, seorang penerbit filem dan Drazen Grubisic, seorang pengukir arca. Mereka berdua sebenarnya merupakan pasangan kekasih tetapi berpisah secara baik setelah empat tahun menyimpul kasih. Lalu mereka berpakat untuk mendirikan sebuah muzium bagi mempamerkan koleksi barangan peribadi tinggalan daripada sebuah perhubungan cinta yang gagal. Barang-barang ini didermakan oleh rakan-rakan mereka dan publik untuk tatapan umum.

Selain Croatia, muzium ini turut mempunyai cawangan di Los Angeles. Kemudian mereka mengadakan siri jelajah dunia bagi mempamerkan barangan tersebut dan sepanjang perjalanan di negara yang mereka lewati, ramai pengunjung yang turut mendermakan barangan mereka.

Kebanyakan barang ini kelihatan biasa dan lama namun setiap objek ini mempunyai nilai sentimental dan cerita yang tersendiri. Menurut laman web rasmi muzium ini, antara barang pameran tersebut adalah:

 

1. Kapak (An Exe Axe)

 

Menurut perkongsian daripada penderma dari Berlin, Jerman, dia sangat marah apabila mendapat tahu teman wanitanya curang lalu dia menghalau wanita itu daripada rumahnya. Kemudian dia membeli kapak dan mengapak hampir semua perabot yang teman wanita (kini bekas) belikan untuknya dulu sampai dia rasa puas hati.

2. Seterika

“Seterika ini pernah digunakan untuk menyeterika baju pengantin saya. Sekarang, ini saja yang tinggal.” kata seorang pengirim dari Stavanger, Norway dengan penuh makna.

3. Poskad

Pemilik asal poskad ini adalah seorang wanita veteran dari Yerevan, Armenia. Ceritanya, poskad itu diselitkan ke pintu rumahnya oleh seorang lelaki yang tinggal berjiran. Sudah tiga tahun anak jirannya itu memendam cinta terhadapnya.

Suatu hari, pemuda tersebut membawa keluarganya untuk meminang si gadis mengikut tradisi lama orang Armenia namun pinangan itu ditolak mentah-mentah kerana bakal mentua tak jadinya berasa lelaki itu tidak layak untuk anak mereka. Lelaki dan keluarganya meninggalkan rumah itu dengan perasaan marah dan kecewa. Itulah hari terakhir dia melihat pemuda itu kerana kereta yang dipandu oleh lelaki itu menjunam ke gaung pada petang itu juga.

4. Mesin Espresso

“Dulu dia suka kopi yang saya bancuh untuknya dengan menggunakan mesin espresso yang dia belikan untuk saya. Dulu dia sayangkan saya. Lama-lama, dia tidak lagi sukakan kopi yang saya buat untuknya daripada mesin espresso itu.

Suatu hari, dia tidak lagi sayangkan saya dan berlalu pergi. Jadi saya ambil mesin espresso itu dan menyimpannya di bawah tanah supaya saya tidak perlu lagi melihatnya. Tetapi setiap kali saya turun ke bawah tanah, ia tetap berada di situ.” Itu catatan seseorang dari Paris yang mendermakan mesin espresso ini kepada pihak muzium.

Pelbagai barang dan perkakas lagi yang boleh ditemui di dalam pameran muzium tersebut seperti patung mainan Godzilla yang digunakan oleh seorang lelaki untuk menyangkut anting-anting dan gelang daripada bekas teman wanitanya, kotak rokok yang berisi surat cinta dan sebelah stiletto yang tersimpan sebagai memento.

Jika anda ada surat cinta, teddy bear atau sejambak bunga plastik pemberian ex jangan bakar atau buang dulu tetapi boleh didermakan kepada muzium ini.

Artikel Lain Untuk Di Baca