Musim Bunga Sudah Tiba! 5 Negara Yang Wajib Anda Lawati Untuk Melihat Bunga Yang Mekar

Musim bunga merupakan musim yang paling disukai ramai orang. Inilah masa untuk melihat pelbagai jenis bunga yang indah di taman. Terdapat pelbagai jenis bunga yang ada di seluruh dunia. Kami akan kongsikan 5 negara yang wajib anda lawati untuk melihat bunga yang mekar.

1. Bunga Tulip – Belanda

Sekiranya anda ingin melihat ladang bunga tulip yang besar, Belanda adalah tempatnya. Kebanyakkan ladang tulip terletak di Noordoostpolder dan anda boleh menikmati permandangan yang indah ini di sepanjang pesisir Den Haag dan Leiden hingga ke Alkmaar.

Keukenhof merupakan taman bunga tulip yang terbesar di dunia dan terkenal dengan bunga tulipnya yang berwarna warni. Musim bunga tulip bermula pada akhir bulan Mac hingga pertengahan bulan Mei tetapi waktu yang sesuai adalah pada bulan April. Anda boleh menaiki keretapi atau berbasikal untuk melihat permandangan yang indah ini.

2. Bunga Sakura – Jepun

Bagi peminat bunga sakura, anda boleh berkunjung ke negara Jepun untuk melihatnya. Sebenarnya, bunga sakura mempunyai pelbagai jenis iaitu Someo Yoshini, Yamazakura dan Shidarezakura. Setiap jenis bunga sakura mengeluarkan warna yang berbeza dan setiap tempat mempunyai masa kemuncak untuk mekar yang berlainan.

Terdapat tradisi Jepun yang dipanggil Hanami iaitu menikmati keindahan bunga sakura. Anda boleh berkelah sambil melihat bunga sakura bersama keluarga atau rakan-rakan di taman. Tempat yang terbaik untuk melihat bunga sakura ialah di Yoshino dan masa kemuncak untuk mekar adalah pada 5 – 14 April 2019.

3. Bunga Bluebells – Devon, England

Anda akan tahu bahawa musim bunga sudah tiba apabila melihat pucuk bunga Bluebells mula muncul dan menyelubungi kawasan hutan Devon. Kehadiran bunga ini membuatkan kita terpukau dengan keindahannya yang hanya datang sekali setahun dan kebiasannya pada awal bulan Mei.

Terdapat beberapa tempat yang anda boleh kunjungi di sekitar Devon untuk melihat bunga ini seperti di Buckland Abbey dan Wembury Woods tetapi tempat yang paling terbaik adalah di Taman Negara Dartmoor. Apabila anda tiba di taman bunga tersebut, anda akan terasa seperti di dalam cerita dongeng.

4. Bunga Lavender – Provence, Perancis

Bunga lavender dikatakan sebagai jiwa bagi kota Provence. Jika anda mengunjungi kota ini, anda akan disambut oleh beberapa bunga lavender yang harum dan mekar di sepanjang jalan Juni hingga ke Agustus. Bunga ungu ini mempunyai pelbagai kegunaan seperti minyak wangi, barang kosmetik dan bahan perasa di restoran tempatan.

Masyarakat Provence akan mengadakan pesta dan lawatan di ladang bunga lavendar ini. Anda boleh menikmati keindahan dan aroma bunga lavender dengan berjalan kaki, berbasikal atau menaiki kereta. Lokasi yang terbaik untuk melihat bunga lavender ini adalah di Sénanque Abbey pada awal bulan Julai.

5. Bunga Matahari – Tuscania, Itali

Bunga matahari atau nama saintifiknya Helianthus Annuus boleh dilihat di negara Itali. Terdapat ladang bunga matahari yang luas dan indah terletak di Tuscania. Ramai pengunjung daripada seluruh dunia berkunjung ke Casali di Bibbiano Villa & Winery untuk menikmati permandangan bunga matahari ini.

Pada mulanya, bunga matahari dibawa oleh penjajah ke benua Eropah dan digunakan untuk keperluan ubatan dan masakan iaitu minyak masak hasil daripada bijinya. Bunga matahari lebih sesuai untuk dilihat pada pertengahan bulan Julai iaitu pada musim panas.

Setiap jenis bunga mempunyai musim yang berbeza untuk mekar. Sekiranya anda ingin melihat bunga pilihan anda, jangan lupa untuk kunjungi negara tersebut mengikut musim yang betul.

Artikel Lain Untuk Di Baca