Muntah Paus Sebagai Perisa, Ini 7 Fakta Menarik Tentang Aiskrim Yang Mungkin Anda Tak Tahu

Siapa sahaja yang tidak mengemari aiskrim? Lebih-lebih lagi jika ia dinikmati ketika cuaca panas.

Ternyata, aiskrim bukanlah satu pencuci mulut semata-mata. Ia sebenarnya mempunyai sejarah tersendiri yang berkemungkinan berlaku semenjak zaman perintahan Rom.

Berikut merupakan tujuh fakta menarik mengenai pemanis mulut kegemaran ramai ini.

1. Tak siapa tahu asal usul sebenar aiskrim

Tiada siapa yang tahu mengenai asal-usul sebenar pencuci mulut ini. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa versi kedatangannya seperti sesetengah sejarawan berpendapat Marco Polo merupakan infividu pertama yang memperkenalkan aiskrim kepada Eropah.

Menurut rekod, Marco Polo telah mempelajari resepi pembuatannya dari China di mana masyarakat di sana telah memperisakan salji bersama-sama nasi dan susu untuk menjadikannya pencuci mulut.

Di samping itu, ada juga yang berpendapat Maharaja Nero semasa zaman pemerintahan Rom Purba gemar untuk mencampurkan salji dengan buah dan madu. Malah, baginda juga sering menghantar orang suruhan untuk mengambil salji di pergunungan.

2. Aiskrim sundae sebenarnya dicipta khas untuk hari Ahad

Terdapat dua versi cerita mengenai bagaimana aiskrim sundae terhasil. Salah satu kisah yang terkenal adalah pemanis mulut jenis ini sebenarnya dihasilkan khas untuk mengelak daripada melanggar undang-undang agama.

Aiskrim soda merupakan sejenis minuman popular yang boleh didapati di mana-mana kedai serbaneka. Walau bagaimanapun, undang-ndang agama melarang peniaga untuk menjual produk itu pada hari Ahad susulan penganut Yahudi tidak dibenarkan memakan makanan manis pada hari Sabat.

Oleh itu, pemilik Ed Berners’ Ice Cream Parlor iaitu Edward Bernes membuat keputusan menghidangkan pelanggannya dengan ais krim soda tanpa soda.

Tidak lama selepas itu, sebatian baharu berkenaan dijual pada hari Ahad dan menjadi sangat popular sehingga ia turut dipasarkan pada hari-hari lain. Edward Bernes kemudiannya menukar nama hidangannya itu sebagai sundae untuk menidakkan kaitannya dengan hari Sabat.

3. Penciptaan kon wafel berlaku secara tidak sengaja

Pada tahun 1904, seorang penjual aiskrim yang menyertai Pesta Dunia di St. Louis, Missouri telah kehabisan stok kon aiskrim kerana menerima pelanggan yang terlalu ramai.

Dek kerana terdesak, penjual itu telah pergi ke gerai wafel berdekatan dan mereka bersama-sama menghasilkan kon wafel untuk dihidangkan bersama aiskrim.

Idea kedua peniaga tersebut disambut baik oleh pelanggan sehinggalah ke hari ini.

4. Resepi aiskrim pertama yang ditulis tangan agak menggelikan

Kira-kira pada tahun 1668, seorang bangsawan Inggeris bernama Lady Anne Fanshawe telah menulis sendiri resepi aiskrim pertama di dunia. Menamakan pencuci mulut ini sebagai icy cream, beberapa bahan yang ditulis Lady Anne mungkin akan kedengaran agak meloyakan.

Menurut resepi Lady Anne, krim perlu direbus bersama-sama pala untuk menghasilkan aiskrim. Bagi penambah perisa pula, bangsawan terbabit menulis untuk menggunakan bunga oren atau ambergris bersama-sama gula.

Buat pengetahuan, ambergris merupakan satu bahan yang terhasil di dalam usus paus sperma yang apabila diluahkan mempunyai tekstur yang seakan-akan muntah.

Pada zaman dahulu, ambergris sering kali digunakan dalam pembuatan lilin atau minyak wangi.

5. Perisa mana yang hadir dahulu, coklat atau vanila?

Pernahkah anda tertanya-tanya, perisa aiskrim manakah yang diciptakan dahulu?

Majoriti individu akan menjawab vanila apabila soalan ini diajukan. Namun begitu, jawapan sebenarnya adalah coklat.

6. Aiskrim merupakan pencuci mulut mewah

Pada ketika dahulu, aiskrim dianggap sebagai satu hidangan pemanis mulut yang ekslusif dan hanya boleh dinikmati oleh golongan elit. Status makanan ini kekal seperti ini sehinggalah lewat tahun 1800-an.

Sekiranya anda tertanya-tanya mengapa ais krim hanya boleh dinikmati golongan elit adalah kerana mereka sahaja yang mampu untuk membayar harga bahan importnya dan penyimpanan produk itu di dalam tempat sejuk.

7. Wujudnya buah aiskrim di Hawaii

Percaya atau tidak, di Hawaii, terdapat sejenis buah yang dikatakan mempunyai rasa yang sama dengan aiskrim vanila.

Digelar inga feuillei atau kacang aiskrim oleh masyarakat tempatan, tumbuhan ini hanya membesar di kawasan beriklim panas dan dinikmati dalam pelbagai cara oleh penduduk di sana.

Untuk membaca artikel lain mengenai fakta menarik, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca