Muntah Darah Sejak 2018, Pelakon Cilik Puteri Balqis Disahkan Tiada Kanser

Dr. Masri Muhamed yakni Pakar Pediatri dan Neonatologi, Pusat Pakar Swasta Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengesahkan bahawa pelakon kanak-kanak, Puteri Balqis Aziz tidak menghidap kanser seperti yang didakwa semenjak beberapa tahun lalu.

Menerusi program Bersamamu yang ditayangkan di TV3 semalam, beliau mengesahkan perkara berkenaan usai menjalankan pelbagai ujian untuk mencari punca penyakit yang dihadapi pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2014 itu.

Menurut beliau, pelbagai ujian telah dijalankan termasuk ujian darah susulan wajah Puteri Balqis yang kelihatan agak pucat.

“Saya tengok kandungan hemoglobin dalam darahnya sangat rendah. Jadi, saya jalankan ujian lain untuk memeriksa fungsi hati dan buah pinggang,” ujarnya.

“Selepas semua kajian selesai, saya mendapati dia (Puteri Balqis) tidak menghidap kanser tetapi, mengalami masalah lain.”

Walau bagaimanapun, masalah lain yang diperkatakan masih lagi menjadi tanda tanya.

Difahamkan, Puteri Balqis yang lebih mesra disapa Aqish masih lagi mengalami muntah darah semenjak penyakit misteri itu mula menyerangnya pada tahun 2018.

Sebelum ini, Puteri Balqis pernah tular di media sosial selepas kisah hidupnya yang kini hanya berdua bersama ibunya selepas wanita berkenaan berpisah dengan suaminya semenjak empat tahun lalu.

Pelakon yang pernah membintangi drama televisyen bertajuk Akulah Balqis kini dilaporkan bersama-sama ibunya, Norasikin Mohd Aziz berulang-alik dari rumah mereka di Setia Alam, Selangor ke beberapa lokasi di ibu kota untuk menjual buku puisi yang dihasilkan bagi menampung kehidupan seharian.

Untuk membaca artikel lain berkaitan selebriti, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca