Muncul Semula Selepas Dibuang, Patung Elsa ‘Berhantu’ Ini Buat Keluarga Tak Senang Duduk

Seorang ibu mendedahkan dia dan keluarganya tidak berjaya membuang patung Elsa ‘berhantu’ susulan ia sering muncul semula di rumahnya meskipun sudah dibuang dua kali.

Emily Madonia yang merupakan seorang pemain biola yang berasal dari Houston, Texas berkongsi kisahnya melalui laman sosial Facebook. Menurutnya, pada tahun 2013, boneka Elsa dari filem animasi terkenal Disney yakni Frozen terbabit diberikan kepada anaknya, Aurelia ketika kanak-kanak itu baru berusia satu tahun.

Walau bagaimanapun, Emily dan suaminya mula menyedari ada sesuatu yang aneh pada boneka berkenaan apabila ia mula menyanyi lagu Let It Go dari filem animasi sama meskipun berada dalam mod tutup.

Beranggapan bahawa patung itu mengalami masalah litar, Emily dan suaminya mengambil keputusan untuk membuangnya. Menerusi posting di akaun Facebook miliknya, Emily menekankan bahawa suaminya, Mat membuang boneka berkenaan ke dalam sebuah plastik yang turut dipenuhi sampah lain sebelum diletakkan di luar rumah.

“Namun, seminggu kemudian ketika sedang mencari sesuatu, kami menjumpai anak patung itu di atas timbunan selimut dan barangan lain di atas bangku kayu di ruang tamu rumah,” tulis Emily.

“Saya tidak rasa ia merupakan kerja anak-anak saya tetapi saya tetap menanyakan mereka soal itu. Namun, mereka kelihatan terpinga-pinga.”

Tulis Emily lagi, dia dan suaminya mengambil keputusan untuk sekali lagi membuang anak patung Elsa terbabit. Kali ini, pasangan itu mengikat beg plastik dan memasukkannya ke dalam plastik lain sebelum meletakkannya di luar di bawah timbunan sampah lain.

Emily menyangka itu merupakan kali terakhir dia bakal bertemu boneka Elsa berkenaan. Namun begitu, sangkaan wanita berkenaan meleset selepas patung itu sekali lagi muncul di rumahnya.

“Kami sudah melupakan Elsa buat seketika sebelum Aurelia memberitahu dia terlihat patung itu berada di belakang rumah,’ tulisnya.

Susulan daripada kejadian itu, posting Emily di Facebook menjadi tular dan wanita berkenaan menerima banyak mesej yang bertanyakan mengenai patung berkenaan. Malah, ada juga yang menawarkan mahu membeli boneka Elsa itu.

Tidak kurang juga ada sesetengah individu yang meragui kisah keluarga Emily.

“Ini bukan perkara main-main. Sama ada patung itu benar-benar berhantu atau ada orang gila yang selalu mengorek sampah dan meletakkannya di rumah saya,” balas Emily.

Menurut wanita itu lagi, dia yakin patung Elsa itu merupakan boneka sama yang telah diberikan kepada anaknya ekoran ia mempunyai kesan contengan berwarna yang dilakukan oleh Aurelia sebelum ini.

Walau bagaimanapun, Emily akhirnya mengirimkan patung itu kepada seorang rakan mayanya, Chris Hogan yang tinggal lebih 1,500 batu jauh daripadanya.

“Elsa ketawa selama 30 saat semasa saya sedang memasukkannya ke dalam kotak. Dia tidak pernah berbuat begitu,” tulisnya mengenai detik akhir bersama boneka puaka itu.

Difahamkan, patung Elsa berkenaan sudah selamat tiba di kediaman Chris Hogan. Meskipun lelaki berkenaan mendakwa dia tidak percaya akan perkara mistik, dia tetap mengikat boneka itu pada kenderaannya dengan menggunakan pita pelekat demi mengelakkannya dari bergerak.

Untuk membaca artikel lain berkaitan patung berhantu, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca