Mumia Dengan Lidah Emas Ditemui Di Makam Berusia 2,500 Tahun

Ahli arkeologi telah menemui tiga orang mumia dengan lidah emas di sebuah tapak kajian arkeologi di Oxyrhynchus, berdekatan dengan bandar moden El Bahnasa, 160 kilometer dari Cairo.

Mumia-mumia tersebut dikatakan meninggal dunia dan dimakamkan kira-kira 2,500 tahun yang lalu. Dalam penerokaan itu, mereka menemui mumia seorang lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak yang mempunyai lidah emas.

Makam untuk mumia lelaki itu terkubur dan tertutup sepenuhnya dengan kata lain ia tidak pernah dibuka dan dikacau, yakni suatu hal jarang sekali berlaku.

“Ini adalah suatu penemuan yang penting, kerana amat jarang sekali untuk kita menemukan makam yang terkubur dan termeterai sepenuhnya,” kata Esther Pons Mellado pengarah bersama dari Universiti Barcelona untuk misi arkeologi tersebut.

Berbeza dengan mumia lelaki, makam untuk mumia wanita telah pun dibuka dan objek-objek yang ditemui bersamanya tidaklah berada dalam keadaan yang baik.

Secara keseluruhan, mereka telah menemui tiga lidah emas bersama mumia-mumia tersebut. Dua ditemui berada di dalam mulut kedua-dua mumia lelaki dan wanita itu. manakala satu lagi dikatakan asalnya milik mumia kanak-kanak berusia tiga tahun.

Tiga mumia dengan lidah emas ditemui pengkaji. Sumber: Smithsonian

Menurut Menteri Pelancongan Mesir, lidah emas adalah satu hasil ritual dan kepercayaan orang Mesir Purba. Mereka percaya bahawa dengan mempunyai lidah kerajang emas akan membenarkan mereka untuk bercakap dengan tuhan mereka setelah mereka meninggal dunia. Ia adalah satu bentuk kepastian bagi orang Mesir purba agar mampu bercakap dengan Mahkamah Tuhan Osiris di kehidupan kedua.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca