Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mungkin meletakkan presidennya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon parti itu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan.

Kenyataan itu dikeluarkan sendiri oleh Perdana Menteri interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad, semalam.
“Satu perbincangan telah diadakan mengenai kemungkinan Muhyiddin mungkin menjadi seorang calon PM,” katanya ketika ditemui di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Perdana Menteri interin itu berkata demikian ketika ditanya apa yang dibincangkan oleh kedua-dua mereka semasa mesyuarat yang diadakan di PMO terlebih dahulu.
“Jika semua setuju memilih dia (Muhyiddin), saya pun setuju,” ujar Tun Dr. Mahathir lagi.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri interim berkata parti berkenaan tidak membincangkan sama ada mereka akan mencalonkan Muhyiddin atau dirinya untuk memegang jawatan tertinggi itu.
Ahli politik yang kini berusia 94 tahun itu juga sedang mengusahakan agenda bagi membentuk kerajaan perpaduan yang melangkaui garisan politik kepartian.
Selain itu, Mahathir juga menetapkan pendirian beliau bahawa beliau tidak akan menerima UMNO sebagai parti komponen.

Menerusi sidang media sebelum ini, Tun Dr. Mahathir menjelaskan Yang di-Pertuan Agong mendapati tidak seorang pun pemimpin yang mempunyai keputusan majoriti berhubung siapa yang wajar dilantik sebagai perdana menteri.
Susulan daripada isu berkenaan, Dr. Mahathir berkata, Agong mahu perkara berkenaan diputuskan oleh Dewan Rakyat.
Persidangan khas Dewan Rakyat ditetapkan pada Isnin hadapan.
Untuk membaca artikel lain berkaitan kemelut politik tanah air, sila klik pada pautan di bawah: