Mufti Wilayah Persekutuan Menyifatkan Filem Polis Evo 2 Tidak Menghina Islam.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri menyifatkan filem Polis Evo 2  tidak mengandungi sebarang mesej penghinaan islam. Sebaliknya, filem tersebut lebih mengetengahkan fahaman fanatik sesat yang memberi ancaman kepada negara.

Meurut beliau, Polis Evo 2 cuba membangkitkan naratif jihad yang sebenar melawan psuedo-jihad.

“Watak antagonis seperti Hafsyam (Hasnul Rahmat) tidaklah menampakkan beliau sebagai seorang pengganas atas nama Islam secara mutlak kerana tidak ada dialog atau babak yang klise dalam menggambarkan teroris atas nama agama seperti bertakbir dan menggunakan apa-apa ayat al-Qur’an atau hadis.”

Bagaimanapun katanya, terdapat ungkapan dalam babak filem itu yang tidak dijelaskan dengan terperinci dan kesan boleh menimbulkan syubhat dalam isu keadilan Allah, juga konsep iman kepada qada dan qadar.

“Pun begitu, kami mencadangkan supaya dilantik konsultan syariah agar perjalanan satu-satu filem yang membawakan tema sebegini, dapat mengelakkan sebarang isu-isu sensitif melibatkan agama.

“Sebaiknya, rujukan kepada konsultan Syariah dilakukan sejak dari awal pembikinan skrip sehinggalah selesai penggambaran keseluruhan filem.

“Kami juga mencadangkan kepada produksi agar meletakkan penjelasan pada awal filem atau pada adendum berkenaan kesamaran dalam jalan cerita (mungkin sengaja diletakkan pada subteks) yang mungkin terdedah kepada salah faham terhadap agama.”

Beliau membuat ulasan ini setelah didatangi Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu, Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh yang memintanya memberikan pandangan berkenaan filem Polis Evo 2 berikutan rentetan daripada kontroversi yang timbul berkenaan filem ini.

Saya mencadangkan kepada beliau untuk membenarkan saya dan para pegawai Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk menonton terlebih dahulu filem ini sebelum membuat sebarang ulasan yang terburu-buru berdasarkan trailer.

Tetapi kata beliau, bukanlah niat dan tugas mereka untuk menapis semua filem tanahair.

“Ini dilakukan atas rasa tanggungjawab kepada agama dan tanahair dalam membawa satu warna baru dalam industri perfileman tanahair.

“Sepatutnya, inilah tanggungjawab kita bersama khususnya di pihak produksi untuk lebih cakna terhadap isu-isu yang boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat.

“Apa yang telah terjadi ini, merupakan satu ingatan bagi pihak dalam industri hiburan dan perfileman untuk berhati-hati dalam berkarya,” katanya

Sebelum ini, Polis Evo 2  mencetuskan rasa kurang senang sesetengah pihak termasuk Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang berkongsi kebimbangan beliau selepas menonton trailer filem berkenaan, mendapati ia memberikan mesej yang “kurang baik” tentang imej umat Islam.

Dr. Zulfikli turut menyatakan beberapa unsur positif yang dapat dilihat melalui filem ini.

1. Satu pengiktirafan kepada wanita apabila watak SACC Dato’ Azizat (Erra Fazira) memainkan peranan yang amat penting dalam menjayakan misi menumpaskan ajaran sesat. Watak polis, apatah lagi yang mengetuai misi-misi penting biasanya dimainkan oleh lelaki. Namun, apa yang ditunjukkan oleh Polis Evo 2 adalah berbeza.

2. Pendedahan aurat dan juga ikhtilat yang sangat minima. Ini perkembangan baru yang sangat baik dalam filem tempatan.

Sumber: Bayan Linnas Siri Ke-154

 

Artikel Lain Untuk Di Baca