Mufti: Waktu Solat Subuh Di Perak Ditambah 8 Minit

Waktu bermula solat Subuh di negeri Perak perlu ditambah lapan minit daripada waktu solat sedia ada berkuat kuasa Sabtu, 22 Jamadilawal 1441H bersamaan 18 Januari 2020.

Menurut Timbalan Mufti Negeri Perak iaitu Datuk Zamri Hashim, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah membuat keputusan bahawa hukum solat Subuh yang dilaksanakan sebelum ini adalah sah dan tidak perlu diqada.

“Bagi menjunjung titah perintah ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan agar waktu Subuh bagi seluruh negeri Perak menggunakan parameter 18 darjah di bawah ufuk berbanding 20 darjah di bawah ufuk sebelum ini,” kata Datuk Zamri.

“Maka berkuat kuasa Sabtu, 22 Jamadilawal 1441H bersamaan 18 Januari 2020, waktu bermula solat Subuh perlu ditambah lapan minit daripada waktu solat Subuh sedia ada,” kata beliau lagi menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, perubahan ini cuma melibatkan waktu Subuh tanpa melibatkan waktu solat yang lain.

Rakyat negeri Perak boleh merujuk pada laman Facebook rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak bagi mendapatkan waktu solat Subuh terkini dan maklumat lanjut mengenai perubahan tersebut.

Sebelum ini, waktu solat Subuh di Melaka juga turut dilewatkan lapan minit selepas mendapat persetujuan daripada Majlis Agama Islam Melaka. Anda boleh klik pada pautan di bawah untuk membaca artikel penuh:

Artikel Lain Untuk Di Baca