Mudah Dan Sedap, Ini Resipi Rendang Daging Tradisional Yang Anda Boleh Cuba Buat Di Rumah

Tiga hari lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Walaupun pada tahun ini kita akan menyambut dalam keadaan bersederhana, namun juadah wajib di pagi raya tetap ingin disiapkan buat seisi keluarga.

Salah satu hidangan utama yang mesti ada pastinya rendang daging. Rendang daging enak dimakan tidak kiralah sama ada dengan pulut, ketupat, nasi, lemang atau roti sekalipun. Pasti memikat selera.

Bagi yang tidak dapat pulang ke kampung beraya dan ini kali pertama menyediakannya, jangan bimbang. Kami kongsikan resipi mudah dan pasti sedap iaitu rendang daging tradisional.

Menyediakan rendang daging tidaklah seremeh yang difikirkan.

Antara bahan-bahan yang diperlukan:

  • 2-3kg daging lembu (bahagian batang pinang)
  • 285g bawang merah (dikupas)
  • 130g bawang kecil (dikupas)
  • 25g bawang putih (dikupas)
  • 12g kunyit hidup
  • 40g halia tua
  • 33g lengkuas
  • 5g daun limau purut (dicarik sedikit)
  • 20g serai
  • 115g gula Melaka
  • 105g cili boh
  • 12g serai (ditumbuk kasar)
  • 16g daun kunyit (kira-kira 1-2 daun)
  • 1kg santan
  • 90g kerisik
  • 2 sudu besar garam

Cara-cara membuatnya:

1. Potong daging lembu menjadi kiub besar kira-kira 3cm x 3cm.

2. Kisarkan bawang merah, bawang kecil, bawang putih, akar kunyit, halia, lengkuas dan akar serai sehingga halus.

3. Cincang halus daun kunyit.

4. Panaskan kuali dengan api besar. Masukkan daging lembu, bahan yang telah dikisar, cili boh, 500gm santan, garam, daun limau purut, serai dan gula Melaka.

5. Kacau hingga rata.

6. Biarkan campuran mendidih. Kemudian kecilkan api dan renehkan. Teruskan kacauan semasa mereneh.

7. Tambah baki santan dan kacau hingga kering. Kemudian masukkan setengah bahan daun kunyit dan kerisik.

8. Terus kacau hingga jadi betul-betul kering. Keseluruhan masa diambil lebih kurang tiga hingga empat jam.

Hidangkan rendang daging bersama hiasan baki daun kunyit tadi.

Tips: Jika anda bercadang untuk menyimpan rendang tersebut untuk hari lain, biarkan ia sejuk sepenuhnya (tanpa ditudung) semalaman sebelum menyimpannya di dalam bekas kedap udara. Rendang boleh disimpan untuk masa yang agak lama, jadi jika anda ingin memakannya lebih lama lagi, simpan di dalam peti sejuk.

Sebelum ini, kami ada kongsikan tiga resipi biskut raya. Untuk baca artikel penuh, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca