Muat Naik Foto Muka Lebam Dan Gigi Patah, Izara Aishah Kongsi Cerita Kemalangan Di Lokasi Penggambaran

Perkongsian beberapa keping foto memaparkan wajah serta tubuhnya lebam biru selain gigi patah oleh pelakon terkenal tanah air, Izara Aishah di laman Twitter berjaya mencuri perhatian ramai.

Dalam perkongsian tersebut, pelakon jelita itu mendedahkah bahawa dia mengalami kecederaan itu ketika menjalani penggambaran drama Ombak Rindu untuk siaran di platform iflix.

Menurut aktres yang berusia 27 tahun itu, insiden berkenaan berlaku beberapa bulan yang lalu dan bukannya baru-baru ini.

“Kejadian itu berlaku sekitar Julai atau Ogos lalu sewaktu menjalani penggambaran drama Ombak Rindu di Langkawi. Ia berlaku ketika melakonkan babak berat yang saya tak boleh dedahkan dan bukannya kena pukul,” kata Izara.

“Saya terus dikejarkan ke hospital dan Alhamdulillah tiada kecederaan serius. Saya kemudian menyambung penggambaran disebabkan ketika itu bengkak belum nampak lagi sebab baru terjadi dan ada luka tapi belum rasa sakit.”

“Produksi pun turutkan dan teruskan saja namun keesokan harinya, lebam jadi sangat teruk. Kami terpaksa hentikan penggambaran selama dua hari disebabkan bentuk muka saya sudah kelihatan pelik,” katanya kepada Harian Metro.

Isteri kepada Muhammad Adib Khalid itu mengakui dia rasa bersalah kerana menganggap dirinya menjadi punca produksi terpaksa menukar tarikh penggambaran.

“Dalam keadaan itu, saya berkeras untuk tetap masuk penggambaran dan mereka terpaksa menutup kesan lebam itu dengan mekap,” cerita Izara.

“Beberapa hari kemudian, mereka tak boleh biarkan saya berlakon lagi atas arahan doktor dan direhatkan seminggu,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, Izara turut menjelaskan perkongsiannya di laman Twitter itu bukannya bersifat sinis kepada produksi tempatan dan kenyataannya adalah bersifat umum.

“Kenyataan itu adalah bersifat umum dan sebenarnya saya bukan nak menyindir pun. Hakikatnya, pihak produksi terbabit menjaga saya dengan begitu baik,” katanya.

Dalam pada itu, apabila ditanya bagaimana reaksi Muhammad Adib sebaik sahaja menerima berita kemalangan itu, Izara berkata, suaminya sangat terkejut serta bimbang dengan keadaannya.

Bahkan, Muhammad Adib juga menasihatkannya agar segera kembali ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Saya terangkan kepada suami dan Alhamdulillah dia memahami. Syukur semuanya okey,” kata Izara lagi.

Pengalaman pahit itu bagaimanapun sama sekali tidak menjejaskan minat Izara dalam bidang lakonan. Sebaliknya, Izara menyifatkannya sebagai satu pengorbanan sebagai anak seni dan ia menjadikannya lebih bersemangat untuk berlakon pada masa hadapan.

“Jangan risau, saya okey. Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya,” ujar Izara lagi.

Untuk baca artikel yang berkaitan, anda boleh klik pautan di bawah:

“Zaman Wanita Ditindas Sudah Berlalu, Cukup-Cukuplah Watak Wanita Lemah.” – Izara Aishah

Bagaikan Bidadari, Ini 11 Wajah Selebriti Malaysia Tanpa Mekap

Artikel Lain Untuk Di Baca