Motosikal Dirempuh Wanita Mabuk, Pekerja MBPP Ini Temui Ajal Di Tempat Kejadian

Seorang pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menemui ajal apabila motosikal yang dipandunya dirempuh oleh pemandu wanita warga China yang memandu di bawah pengaruh alkohol. Kejadian ini berlaku berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat, Georgetown, Pulau Pinang.

Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 6.50 pagi Jumaat itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohaidin Gani Mohamad maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut iaitu Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, kejadian malang berkenaan berlaku sewaktu Pembantu Kesihatan Awam MBPP yang berusia 58 tahun itu berhenti di lampu isyarat bersama dua buah lagi kenderaan.

Semasa sedang menungggu lampu isyarat, sebuah kereta jenis Honda Accord yang dipandu wanita berusia 24 tahun itu tiba-tiba merempuh motosikal mangsa dan sebuah lagi motosikal dari arah belakang.

Menurut laporan Astro Awani, pihak polis kini masih lagi sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Mereka yang menyaksikan kejadian diminta untuk menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

Menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu wanita itu dilihat tidak berhenti sewaktu melalui lampu isyarat berkenaan menyebabkannya merempuh dua motosikal dan sebuah kereta yang sedang berhenti di lorong tengah.

Setakat ini, pihak polis sudah pun mengambil sampel darah pemandu kereta bagi ujian kandungan alkohol dan dadah.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 44(1)(A) Akta Pengangkutan (APJ) 1987.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca