Motosikal Dirempuh Kereta Dari Arah Bertentangan, Murid Tahun 6 Ini Putus Kaki

Malang itu sememangnya tidak berbau. Seorang murid Tahun 6 putus kaki kanan selepas motosikal yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta. Nahas ini berlaku di Kilometer 46, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi, Hulu Terengganu pada Isnin.

Dalam insiden sekitar jam 7.30 malam itu, mangsa iaitu Muhammad Zulhaikal Mohammad, 12, sedang membonceng motosikal bersama dua lagi sebelum dilanggar secara berdepan.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki dari arah Bukit Besi menghala ke Ajil cuba memotong sebuah kenderaan.

Kenderaan itu kemudiannya bertembung dengan motosikal jenis Suzuki Step yang dinaiki ketiga-tiga mangsa dari arah bertentangan.

Difahamkan, penunggang motosikal iaitu Samri Said, 52, parah di bahagian kaki manakala anaknya, Nur Farahiya Najwa Samri, 10, hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu bagi menerima rawatan.

Kes ini disiasat mengikut 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca