Motosikal Berkuasa Tinggi Masuk Gaung, Mayat Warga Emas Ini Dijumpai Tersangkut Pada Dahan Pokok

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi menemui ajal selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 17 Jalan Pantai-Bukit Tangga dekat Jelebu, Negeri Sembilan pada Ahad. Mayatnya ditemui oleh orang awam tersangkut pada dahan pokok.

Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 11.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Syed Jamal Syed Zain ketika itu menunggang motosikal jenis Yamaha dan maut di tempat kejadian.

Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan iaitu Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir, mangsa yang berusia 61 tahun itu datang dari arah Kuala Klawang sebelum motosikalnya terbabas sehingga tercampak ke dalam gaung sedalam 200 meter.

“Hasil siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas sehingga tercampak ke dalam gaung.”

“Mayat mangsa pula ditemui orang awam tersangkut pada dahan pokok,” katanya.

Sebelum kemalangan yang meragut nyawa itu berlaku, mangsa bersama dengan tiga lagi rakannya yang turut menaiki motosikal berkuasa tinggi dalam perjalanan menuju ke Seremban.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk prosedur bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca