‘Money Heist’, Musim Ke-3 Drama Bersiri Rompakan Terancang Bakal Menemui Penonton 19 Julai Ini

Penulis: Shahrizat Ahmad

Drama bersiri rompakan terancang paling unggul La Casa De Papel atau Money Heist bagi nama pasaran antarabangsa memasuki musim ketiga di siaran Netflix pada 19 Julai 2019. Pengumuman ini disahkan melalui akaun rasmi Twitter drama tersebut dengan memuat naik poster para pelakon.

La Casa De Papel diarahkan oleh Alex Pina dan pertama kali ditayangkan untuk tontonon umum pada 2 Mei 2017 di saluran televisyen Sepanyol dan kemudiannya menjadi siri eksklusif di siaran berbayar Netflix penghujung tahun yang sama.

Drama bersiri ini mengisahkan sekumpulan perompak yang merompak pusat pencetakan wang di Royal Mint of Spain dan menjadikan pekerja serta pelajar sekolah yang mengadakan lawatan sebagai tebusan.

Ia diketuai oleh seorang lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Profesor. Profesor itu memilih setiap ahli untuk direkrut masuk ke dalam pasukan.

Menariknya lagi penjenayah menggunakan nama bandaraya utama sebagai nama samaran antaranya Denver, Berlin, Tokyo, Nairobi dan Helsinki. Setiap daripada mereka ini mempunyai kepakaran yang tersendiri.

Sebelum rompakan bermula, ahli-ahli ini dikumpulkan dalam satu kem rahsia bagi merancang dan menjangka setiap kemungkinan yang berlaku dalam rompakan. Daripada sekecil-sekecil hingga ke besar perkara.

Pasukan ini mendahului pihak keselamatan dalam setiap aspek hingga pihak keselamatan terjerat dengan helah yang mereka cipta. Sarat dengan emosi baik daripada pasukan yang diketuai oleh Profesor, pasukan keselamatan mahupun tebusan sendiri.

Untuk musim ketiga, ia melibatkan usaha menyelamatkan Rio yang telah ditangkap pihak berkuasa. Tokyo meminta bantuan Profesor lalu diwujudkan semula satu pasukan dengan penambahan ahli baru dan satu lagi ‘heist’ bermula.

Dalam trailer rasmi dan juga poster mereka turut memperlihatkan ‘kebangkitan’ semula Berlin.

P/S: Tidak pasti bila wakil nama ibu negara dari negara Asia Tenggara akan menjadi nama untuk salah satu watak dalam siri ini.

Artikel Lain Untuk Di Baca