Mona Fandey Tersenyum Ke Tali Gantung? Ini Kisah Pembunuhan Kejam Datuk Mazlan Yang Dikerat 18

Suatu ketika dahulu, negara kita digemparkan dengan kes pembunuhan ahli politik iaitu Datuk Mazlan Idris dan ia boleh dianggap sebagai salah satu kes paling ngeri dalam sejarah jenayah Malaysia.

Mana tidaknya, tubuh Mazlan ditemui dalam keadaan yang begitu tragik di mana ia telah dikerat kepada 18 bahagian. Tidak cukup dengan itu, 18 bahagian tersebut kemudiannya ditanam di dalam simen.

Perbicaraan kes ini berlangsung selama 69 hari di mana ia merangkumi cerita sensasi berhubung ilmu hitam, wang dan politik.

Jika bukan kerana kecekapan anggota polis negara kita, pembunuhan yang dirancang rapi oleh pasangan Mohamed Affandi Abdul Rahman dan isterinya, Maznah Ismail atau lebih dikenali sebagai Mona Fandey serta pembantu mereka iaitu Juraimi Husin mungkin terlepas sebagai jenayah sempurna.

Kehilangan Mazlan yang ketika itu merupakan anggota Dewan Undangan Negeri Pahang pada mulanya tidak menimbulkan syak wasangka. Namun begitu, apabila beliau gagal dihubungi oleh ahli keluarga lebih seminggu, pihak polis mula melakukan siasatan.

Pihak polis pada mulanya menahan Juraimi kerana dia disyaki merupakan seorang penagih dadah.

Penahanan Juraimi kemudiannya membawa kepada penemuan ngeri bahagian tubuh Mazlan yang dikorek keluar dari bawah lantai simen di dalam bilik stor dekat sebuah kediaman tidak bernombor di Kampung Peruas, Hulu Dong di daerah Raub, Pahang.

Sewaktu perbicaraan kes ini berlangsung, Juraimi memberitahu yang pasangan bomoh itu telah merancang pembunuhan tersebut sebulan sebelumnya. Juraimi diberikan arahan termasuklah mengasah kapak bagi memancung kepala Mazlan dan menggali lubang besar beberapa hari sebelum episod tragik itu berlaku.

Difahamkan, Affandi dan Mona juga turut mengasah sebilah pisau yang digunakan bagi memotong tubuh Mazlan kepada 18 bahagian.

Motif utama pembunuhan itu adalah tidak lain tidak bukan, wang. Beberapa jam sebelum Mazlan diperlakukan sedemikan rupa, pasangan itu memujuknya untuk mengeluarkan wang tunai hampir RM300,000 di beberapa buah bank dengan alasan mereka boleh menggandakan jumlah tersebut sebaik sahaja Mazlan menjalani upacara mandi bunga.

Menurut beberapa sumber, Mazlan disuruh berbaring selepas Affandi memberi jaminan bahawa duit yang tidak terkira banyaknya akan jatuh dari atap. Selepas itu, Juraimi diarahkan untuk menetak leher Mazlan dengan menggunakan kapak.

Ketika itu, Mazlan yang berusia 49 tahun sedang bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian UMNO. Pihak pendakwa bagaimanapun berhujah bahawa Mazlan mengeluarkan sejumlah wang yang banyak itu bukan bertujuan untuk memberikannya kepada para penyokong tetapi kerana dia termakan tipu helah ‘wang buat wang’ pasangan itu.

Juraimi mendakwa cuma diberikan upah sebanyak RM180 bagi menanam tubuh Mazlan.

Affandi dan Mona pula dikatakan bergegas ke Kuala Lumpur dan bermalam di sebuah hotel selepas riwayat Mazlan tamat.

Kira-kira lapan jam selepas pembunuhan itu, Affandi dan Mona menggunakan wang Mazlan untuk membeli-belah. Pada jam 7.30 pagi keesokan harinya, mereka sudah tercongok di depan bilik pameran kereta yang terletak di Melaka untuk membeli sebuah kereta mewah iaitu Mercedes Benz 280 meskipun kedai itu belum dibuka.

Mereka dipercayai membelanjakan lebih RM160,000 wang milik Mazlan untuk membeli kereta, telefon bimbit dan juga barang kemas sehari sahaja selepas pembunuhan itu berlaku.

Mona yang sebelum ini pernah menjadi penyanyi juga menghabiskan kira-kira RM13,000 untuk melakukan pembedahan plastik dua minggu selepas pembunuhan itu.

Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitulah yang terjadi dalam kes ini di mana Affandi dan Mona akhirnya berjaya ditahan pihak polis.

Sewaktu perbicaraan, cerita yang keluar daripada mulut pasangan itu tidak kurang sensasinya namun semua itu tidak dipercayai oleh hakim di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan akhirnya Mahkamah Persekutuan.

Misalnya, Affandi memberitahu mahkamah bahawa Mazlan berhutang sebanyak RM2.5 juta kepadanya sebagai pertukaran kepada tiga barang yang menurutnya pernah menjadi milik Allahyarham Presiden Sukarno iaitu tongkat, tangkal dan songkok.

Pada masa yang sama, Lembaga Pengampunan Pahang turut menolak permohonan mereka untuk mendapat pengampunan diraja.

Ketiga-tiga suspek dalam pembunuhan Mazlan akhirnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam, Datuk Mazlan Idris pada 13 Julai 1993. Kesemua pesalah menemui ajal di tali gantung pada 2 November 2001.

Bermacam-macam versi cerita tentang Mona Fandy yang diperkatakan oleh masyarakat kita. Ada yang mendakwa dia tersenyum lebar sewaktu menuju ke tali gantung. Tidak kurang juga ada yang mengatakan bahawa dia sering menghilangkan diri pada waktu malam dengan menggunakan ilmu hitamnya untuk keluar dari sel. Hakikatnya, tiada siapa yang tahu sama ada cerita itu benar atau rekaan semata-mata.

Kronologi kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris

13 Julai 1993: Juraimi pada mulanya ditahan di Balai Polis Dong selepas disyaki menagih dadah dan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Raub.

18 Julai 1993: Selepas dua minggu Mazlan gagal dikesan, laporan polis mengenai kehilangannya dibuat oleh UMNO Bahagian Raub di Balai Polis Raub.

19 Julai 1993: Polis memulakan siasatan kehilangan Mazlan. Juraimi dibawa polis ke kediaman yang terletak di Ulu Dong dan polis menemui pita video, album gambar, keratan akhbar dan sijil saham milik Mazlan.

20 Julai 1993: Kira-kira jam 11.45 malam, Mohd Affandi dan Mona ditahan di sebuah rumah Jalan 2/27C Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

21 Julai 1993: Mohd Affandi dibawa ke Balai Polis Raub.

23 Julai 1993: Mayat Mazlan dijumpai di sebuah rumah di Kampung Pamah Dong, Ulu Dong, Raub Pahang. Mayatnya yang dipotong kepada 18 bahagian itu ditanam di dalam bilik stor kediaman berkenaan.

1 Ogos 1993: Rangka tiga beranak ditemui di dua tempat di Terengganu, dikatakan dikerat dan ditanam hampir sama dengan pembunuhan Mazlan.

10 Ogos 1993: Polis mendapat perintah reman terhadap Mohd Affandi, Mona dan Juraimi hingga 16 Ogos bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang wanita iaitu Fatimah Mohamad.

15 Ogos 1993: Polis menjumpai beberapa anggota manusia yang ditanam di kawasan rumah yang pernah didiami pasangan bomoh Mohd Affandi dan Mona di Kampung Nelayan, Teluk Gong, Klang.

17 Ogos 1993: Polis dapat perintah mahkamah supaya pasangan bomoh itu dan Juraimi ditahan di Penjara Pudu dan Kajang.

26 Oktober 1993: Siasatan awal kes pembunuhan Mazlan bermula di Mahkamah Majistret Raub.

18 Disember 1993: Mahkamah Majistret Raub memerintahkan kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Temerloh untuk perbicaraan atas tuduhan membunuh.

3 September 1994: Mohd Affandi dan Mona dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Temerloh atas tuduhan membunuh Adun Batu Talam, Datuk Mazlan Idris.

12 September 1994: Perbicaraan kes pembunuhan Mazlan bermula di Mahkamah Tinggi Temerloh. Juraimi, Mohd Affandi dan Mona mengaku tidak bersalah atas tuduhan niat bersama membunuh Mazlan.

9 Februari 1995: Mahkamah Tinggi Temerloh menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Mohd Affandi, Mona serta Juraimi kerana bersalah membunuh Mazlan.

10 Februari 1995: Mohd Affandi, Mona dan Juraimi dihantar ke Penjara Kajang.

Antara 16 Februari 1995 hinga 20 Oktober 1997: Mohd Affandi, Mona dan Juraimi mengemukakan notis rayuan di Mahkamah Tinggi Temerloh dan Mahkamah Rayuan.

24 Oktober 1997: Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram, Datuk Abdul Malek Ahmad dan Datuk Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim menolak rayuan mereka.

2 November 2001: Pada jam 5.59 pagi, Mona Fandey, Mohd Affandi dan Juraimi digantung serentak di Penjara Kajang.

Mona dan Affandi telah disemadikan di Tanah Perkuburan Ahli-ahli Kariah Masjid Kajang di Kampung Sungai Kantan, Kajang manakala Juraimi pula telah dikebumikan di kampungnya, Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.

Artikel Lain Untuk Di Baca