‘Moga Ada Keajaiban’, Hati Ibu Luluh Doktor Jangka Hayat Anak Berbaki 6 Hingga 12 Bulan

Luluh hati seorang ibu apabila mendapat tahu daripada doktor bahawa rawatan bagi penyakit kanser anaknya sejak dua tahun lalu telah menemui kegagalan dan kanser tersebut tidak dapat diubati.

Namun, biarpun doktor menjangkakan bahawa hayat hidup anaknya hanya berbaki enam hingga 12 bulan, si ibu ini masih tidak mahu berputus asa dan sentiasa berdoa agar ada keajaiban buat anaknya.

“Biarpun doktor menjangka hayatnya berbaki enam hingga 12 bulan, kami tidak mahu menyerah dan berharap semoga ada keajaiban buat anak saya,” kata Nor Suziana Azmi, 38.

Nor Suziana Azmi (kiri) bersama anaknya, Aqil Fayyadh Aswadi (kanan), lima tahun ketika ditemui di Taman Jajar, Jalan York, Georgetown. Sumber: Berita Harian

Menurut Nor Suziana, ibu kepada Aqil Fayyadh Aswadi, anaknya yang berusia lima tahun itu disahkan mengidap kanser ‘Left Adrenal Neuroblastoma’ yang menyerang buah pinggang, kepala, mata dan kini tulang belakangnya.

Aqil Fayyadh dikesan mengidap penyakit berkenaan pada pertengahan 2020 selepas seringkali mengalami demam, kepala semakin membesar, manakala matanya tersembul daripada kelopak.

“Itulah gejala ketara penyakitnya namun kami akur apabila doktor mengesahkan rawatannya gagal selepas melakukan pelbagai pembedahan dan kemoterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Aqil Fayyadh seorang anak yang aktif menyebabkan orang ramai tidak menganggap dia sebagai pesakit kanser, namun kami tetap berhati-hati memantau perkembangannya,” kata Nor Suziana yang tinggal di Jalan Abi Tok Hashim, Kangar.

Kongsinya, dia dan suami, Aswadi Azmi, 49, yang juga seorang pesawah berusaha memenuhi beberapa permintaan Aqil Fayyadh termasuk hajatnya untuk bersiar-siar dengan menaiki bas.

“Kini dia kerap mengajak keluarga bercuti di taman tema dan kami hanya membawanya ke lokasi yang terdekat,” katanya.

Pasangan ibu dan anak itu ditemui pemberita dalam majlis anjuran Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) di Taman Jajar, Jalan York di sini.

Majlis itu dianjur sempena Hari Kanser Sedunia bagi meraikan kanak-kanak pengidap kanser yang baru selesai menjalani rawatan intensif.

Ia diceriakan dengan pelbagai aktiviti dan dihadiri seramai 40 kanak-kanak pengidap kanser dan yang sudah sembuh berusia antara tiga hingga 20 tahun dari sekitar Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca