MKN Nafi Dakwaan Ismail Sabri Langgar SOP Ketika Ziarah Kubur

Tindakan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang menziarahi kubur ibu bapanya di Temerloh, Pahang, tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, aktiviti ziarah kubur adalah dibenarkan selagi ia mematuhi SOP am dan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan fasa ditetapkan kerajaan.

Ujarnya, tiada SOP khusus berkenaan aktiviti menziarahi kubur di luar musim perayaan.

“Negeri Pahang kini merupakan negeri di bawah Fasa dua dan tiada sebarang SOP khusus ditetapkan oleh negeri tersebut berhubung larangan menziarah kubur.”

Dakwaan muncul apabila tular gambar Dato’ Sri Ismail Sabri di media sosial yang menunjukkan beliau sedang menziarahi kubur ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Lubuk Kawah ketika dalam perjalanan menghadiri beberapa program di Parlimennya di Bera.

Ismail Sabri dilapor meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk membaca Yasin dan doa buat ibu bapanya.

Hal ini mengundang reaksi yang pelbagai daripada netizen di platform media sosial yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Perdana Menteri ke-9 itu dan mendakwanya melanggar SOP.

MKN memaklumkan tiada sebarang isu atau pelanggaran apa-apa SOP yang dilakukan Perdana Menteri.

“Saya lihat beliau mematuhi SOP am iaitu jaga penjarakan, memakai pelitup muka,” kata Datuk Rodzi Md Saad.

Justeru itu, MKN juga mengeluarkan kenyataan bahawa aktiviti ziarah kubur semasa bukan musim perayaan adalah dibenarkan untuk orang awam.

“Apa yang penting ialah setiap mereka yang menziarah kubur ini mesti memastikan supaya penjarakan fizikal satu meter diamalkan dan pemakaian pelitup muka dilaksanakan di samping menjaga kebersihan seperti mencuci tangan dan sebagainya.”

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca