Penyakit Parkinson merupakan satu kumpulan keadaan yang dipanggil gangguan sistem motor. Berikut adalah 4 gejala awal penyakit Parkinson:
1. Tremor: Menggigil pada tangan, lengan kaki, rahang dan muka.
2. Kekakuan: Kaku ataupun kejang pada anggota dan belakang.
3. Bradikinesia: Pergerakan yang perlahan.
4. Ketidakstabilan badan: Kemerosotan keseimbangan dan koordinasi badan.
Gejala ini mungkin menyebabkan pesakit susah untuk berjalan, bercakap ataupun melakukan kerja-kerja yang mudah mahupun yang berat. Selain itu, penyakit ini juga merupakan penyakit yang kronik dan progresif.
Namun, penyakit ini bukanlah sejenis penyakit yang berjangkit. Ia adalah keadaan di mana daya kawalan otot seseorang itu merosot dengan teruk sehingga penghidap tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Penyakit Parkinson berlaku apabila sesetengah sel saraf ataupun neuron dalam satu kawasan otak yang dipanggil Substantia Nigra mati ataupun cedera. Kebiasaannya, neuron-neuron ini mengeluarkan sejenis bahan kimia otak yang dipanggil Dopamin.
Dopamin adalah sejenis kimia penghantar (neurotransmitter) yang bertanggungjawab menghantar isyarat antara Substantia Nigra dan Korpus Striatum bagi melembut dan memudahkan aktiviti otot.
Kehilangan Dopamin menyebabkan sel-sel saraf Striatum hilang kawalan dan meninggalkan kesan di mana pesakit tidak dapat mengawal pergerakan dalam situasi normal. Kajian menunjukkan bahawa pesakit Parkinson kehilangan 80 peratus ataupun lebih sel-sel pengeluar Dopamin di dalam Substantia Nigra. Sebab-sebab sel ini mati ataupun merosot tidak diketahui puncanya.
Satu teori baru mendedahkan peranan faktor genetik dalam perkembangan penyakit Parkinson. Didapati 15 hingga 20 peratus pesakit Parkinson mempunyai saudara mara yang mengalami gejala Parkinson seperti mengeletar (tremor).
Kajian yang dijalankan ke atas haiwan uji kaji menunjukkan bahawa MPTP dapat mengganggu fungsi Mitokondria di antara sel-sel saraf. Para penyelidik lebih berminat dengan kemungkinan ini di mana kemerosotan di dalam DNA Mitokondria mungkin menjadi penyebab Parkinson.
Mitokondria adalah organ penting yang terdapat dalam semua sel haiwan. Ia menukarkan tenaga dalam makanan kepada bahan bakar bagi sel. Teori lain pula mengatakan bahawa penyakit Parkinson boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Penulis
- Habina Zakaria adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.