Misteri ‘Kapal Hantu’ S.S. Ourang Medan

Sejarah maritim dan nautika mengandungi banyak cerita-cerita tentang kapal hantu.

Salah satunya dipercayai berlaku pada tahun 1947 atau 1948. Semuanya bermula daripada satu panggilan kecemasan, SOS.

Tahun 1947/1948

Beberapa buah kapal di perairan Selat Melaka berhampiran Malaysia dan Sumatera menerima mesej aneh melalui Morse code daripada S.S. Ourang Medan, sebuah kapal kargo Belanda.

“All officers, including the Captain, are dead. Lying in chartroom and bridge. Possibly whole crew dead.”

Diikuti pesanan terakhir, “I die.”

Kemudian operator radio itu senyap. Lantas dua buah kapal warga Amerika mula menyiasat mesej misteri itu. Dengan bantuan pihak British dan Belanda, mereka berjaya mengesan koordinat lokasi kapal tersebut.

Beberapa jam kemudian, kapal Silver Star menjumpai kapal SS Ourang Medan bergerak tanpa enjin dan lampu serta tiada tanda-tanda hidupan berada di atas kapal.

Semua usaha untuk menghubungi anak-anak kapal itu gagal, tiada sebarang sahutan. Hal ini memaksa Kapten Silver Star untuk melihat sendiri apa sebenarnya yang berlaku di dalam kapal kargo itu.

Ngeri

Di atas geladak kapal itu, kelihatan mayat-mayat orang Belanda bergelimpangan di merata-rata tempat. Kebanyakan mangsa ditemui maut dalam keadaan mata terbeliak, muka ketakutan dengan tangan menggawang seolah-olah cuba melawan sesuatu.

Bangkai anjing turut dijumpai seperti sedang menyalak kuat sebelum mati. Tubuh mereka pula keras kerjung dan beku seperti daging beku baru lepas keluar dari freezer.

Mesej-mesej yang pernah dihantar sebelum ini memang tepat sekali dan tiada siapa yang bernyawa. Pihak penyelamat meneruskan pencarian sehingga menemui kapten dan kru kapal lain dalam suatu bilik. Ekspresi muka-muka itu sama seperti mayat lain.

Situasi ini mencetuskan kehairanan dan pelbagai persoalan bermain di benak para penyelamat. Sepanjang pencarian itu, mereka perasan yang mayat-mayat itu sejuk seperti peti ais walaupun suhu bilik panas. Apa yang lebih pelik adalah bilik isyarat kecemasan yang menempatkan operator radio itu kosong, tiada sesiapa.

Selain itu, kondisi kapal itu normal dan tiada sebarang pertumpahan darah berlaku akibat serangan lanun sebagainya.

Kru Silver Star mahu membawa kapal itu balik ke pelabuhan dengan menundanya di belakang. Tiba-tiba asap dan api marak keluar dari perut kapal itu, menyebabkan kru yang masih berada di atas Ourang Medan memotong tali dan terjun bagi menyelamatkan diri.

Kapal S.S. Ourang Medan meletup sebelum karam di lautan bersama 1001 rahsia yang ikut terkubur.

Andaian

Seorang penyelidik dan profesor dari Jerman, Theodor Siersdorfer telah mengandaikan yang kemungkinan kapal kargo tersebut mengandungi bahan kimia potassium cyanide dan nitroglycerinhas yang menyebabkan ia meletup.

Spekulasi lain pula adalah kapal tersebut dipercayai menyeludup keluar senjata kimia atau biologi dari Jepun untuk digunakan semasa berperang.

Apa yang menjadi persoalan Misteri Nusantara sehingga kini, siapakah sebenarnya yang mengirim mesej tersebut?

Menurut situs THELAKI, kisah S.S. Ourang Medan ini menjadi inspirasi kepada filem Death Ship (1980) dan Ghost Ship (2002). Satu lagi, permainan video bernama Man of Medan yang diterbitkan untuk Xbox One, PS4 dan juga PC.

Artikel Lain Untuk Di Baca