Misteri Gustave, Buaya Raksasa Pemakan Manusia

Di sebalik air Tasik Tanganyika yang tenang ini, jangan disangka tiada buaya. Tasik kedua terbesar di Afrika ini merupakan tempat puak buaya Nil (Crocodylus niloticus) bersarang.

Ada seekor buaya Nil yang masih disebut-sebut sehingga kini. Setiap kali penduduk tempatan melihat kelibatnya, pasti mereka akan berteka-teki berapa orang agaknya yang bersemadi di dalam perut reptilia tersebut, mungkin hampir 300 orang. 

Namanya Gustave 

Buaya ini dianggarkan berusia 60 tahun lebih. Terdapat parut kesan tiga das tembakan di tubuhnya, percubaan para pemburu untuk membunuh haiwan ini. Disebabkan saiznya yang raksasa, raja air tawar ini lebih berminat untuk menyantap hidangan yang lebih besar. Tak kenyang makan ikan sahaja.

Apa yang menarik, buaya ini dikatakan sanggup berdiet atau ‘berpuasa’ berbulan-bulan lamanya untuk menunggu mangsa seterusnya. Biasanya nelayan dan kanak-kanak yang menjadi menu kerana lebih mudah untuk ditangkap. Gustave akan guna ekor untuk melibas sebelum melemaskan calon lauknya itu. 

Dikatakan kematian seorang pekerja kedutaan Rusia yang sedang berjimba-jimba mandi sungai adalah angkaranya. 

Bertemu ruas

Khabar tentang pembunuh bersiri akuatik berdarah sejuk di tasik itu sampai ke gegendang telinga seorang pemburu dari Perancis, Patrice Faye. 

Selama dua tahun beliau mengkaji gerak geri reptilia tersebut, dan siap buat dokumentari ‘The Killer Croc’ yang ke udara pada tahun 2014 bagi merekod usahanya menjerat buaya berkenaan. Lelaki Perancis itu sangat obses dengan misinya, nama Gustave itu adalah pemberiannya. 

Beliau memasang perangkap besar untuk buru buaya raksasa itu, namun tak berjaya. Fahamlah Faye bahawa Gustave ini sangat cerdik, tidak mudah ditipu sang kancil dan memiliki naluri survival yang tinggi. 

Pada percubaan pertama, sangkar saiz 9 meter digunakan, pelbagai umpan diletakkan di dalamnya namun tidak mampu menarik selera Gustave, malah haiwan lain juga. Kemudian saintis pasang tiga perangkap gergasi di tebing sungai yang lebih strategik tetapi hanya buaya kecil-kecil sahaja yang berada di dalam tahanan. 

Pada minggu terakhir sebelum Faye dan tim meninggalkan benua itu, mereka mengumpan kambing hidup-hidup ke dalam sangkar. Malangnya, kamera pula rosak teruk kerana ribut pada malam semalam. Keesokannya, sangkar dijumpai separuh terapung dan kambing lesap entah ke mana, tiada siapa tahu apa berlaku semalam. 

Hairan, ke mana menghilangnya kambing tersebut? Sekiranya kambing golek, tak usah tunggu Gustave, manusia yang akan beratur panjang bersama pinggan masing-masing. 

Hidup mati Gustave masih menjadi tanda soal

Akhirnya Faye berputus asa dan mula memasang alat penjejak di buaya-buaya biasa untuk mengkaji kelakuan sang bedal dengan bantuan penduduk setempat. Kadang-kadang dia tanya juga khabar Gustave melalui beberapa informant yang diberikan telefon bimbit tetapi tidak dapat banyak maklumat. 

Keberadaan buaya legenda itu sukar dijejak. Apakah sedang bersembunyi atau berpindah ke tempat lain setelah habitatnya dirodok manusia? Atau mungkin sudah menjadi tali pinggang atau tas tangan. Jika mati, mana bangkai besarnya?

Cuma apa yang menggerunkan adalah ketika sedang asyik mandi sungai, terdapat sepasang mata yang sedang memerhati dari permukaan air…

Zafirah Zapri merupakan penulis tamu portal I Am Lejen, tulisan beliau boleh digodek lagi dalam blog peribadinya zafirahzapri.com

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca