Ramai yang mengatakan bahawa Aokigahara Forest adalah tempat yang paling berhantu dan seram di dunia. Ia terletak di Jepun dan merupakan sebahagian dari Gunung Fiji. Hutan ini dikatakan menjadi lokasi untuk menamatkan riwayat hidup. Disebabkan jumlah kes bunuh diri di hutan itu yang tinggi, maka ia terkenal dengan nama ‘Hutan Bunuh Diri’ (Suicide Forest).
Namun begitu, sebelum hutan ini menjadi lokasi untuk bunuh diri, ia merupakan tempat bagi meninggalkan orang-orang tua dan mereka yang cacat serta lumpuh. Mereka yang malang ini dibiarkan sendirian di hutan tersebut sehingga mati.
Tragedi bunuh diri di Aokigahara Forest bermula pada sekitar tahun 1970. Pada tahun 2002, dikhabarkan 78 mayat telah ditemui di sana. Pada tahun 2010 pula, bilangan tersebut dipercayai semakin bertambah di mana lebih daripada 200 mayat telah dijumpai di hutan tersebut.
Kebanyakan mayat di situ ditemui dalam keadaan tergantung dan ada juga yang menamatkan riwayat mereka dengan mengelar tangan. Namun begitu, persekitaran hutan tersebut yang terlalu tebal menyebabkan banyak mayat hilang dan ada di antaranya yang ditemui beberapa tahun kemudian dalam keadaan reput. Malah, dikhabarkan ada juga yang masuk ke hutan itu dan tidak ditemui sehingga sekarang.
Memandangkan kes bunuh diri di Aokigahara Forest tidak menemui titik nokhtah, papan tanda melarang perbuatan tersebut telah dipacak di situ. Turut dipaparkan pada papan tanda itu adalah nasihat kepada orang ramai supaya memikirkan tentang keluarga dan menggalakkan mereka mendapatkan rawatan kaunseling.
Dalam pada itu, penduduk tempatan yang tinggal di sekitar kawasan hutan tersebut kesal kerana persekitaran alam semula jadi yang mereka kagumi itu lebih dikenali sebagai lokasi ‘panas’ untuk bunuh diri.
Walau apa keadaan sekalipun, janganlah kita mengambil jalan yang singkat. Bunuh diri itu bukan satu penyelesaian. Sekiranya anda mengenali sesiapa yang terdorong ke arah ini, bantulah mereka untuk dapatkan bantuan pakar dengan segera.