Minta Kupas Pisang, Pemain Tenis Perancis Ini Terima Kecaman Warganet

Elliot Benchetrit terpalit dalam sebuah kontroversi selepas menyuruh seorang gadis pengutip bola mengupas pisang di Terbuka Australia.

Image
Elliot Benchetrit

Insiden itu berlaku semasa aksi kelayakan kejohanan tersebut di mana Elliot menentang pemain Kazakhstan, Dmitry Popko.

Walau bagaimanapun, pengadil perlawanan iaitu John Blom mengarahkan pemain tenis Perancis itu untuk melakukannya sendiri.

Baginya, tindakan Elliot meminta pertolongan gadis berkenaan itu seperti memperhambakan pengutip bola tersebut.

Bukan sahaja pengadil, tetapi tindakan itu turut mengundang kemarahan warganet termasuk pemain tenis wanita, Martina Navratilova.

Selepas tersingkir di pusingan pertama, Elliot yang turut dikenali sebagai Bench berkongsi pendapat peribadinya tentang insiden berkenaan.

Image

Bench mempertahankan tindakannya dengan mendakwa bahawa gadis itu sudah mengupas pisang untuknya sejak dari awal lagi.

Jelasnya, “Pada kedudukan 6-5 di set terakhir, ketika rehat, saya meminta budak perempuan itu untuk mengupas pisang kerana saya perlu letakkan krim di tangan untuk elak dari berpeluh.”

“Dia (gadis pengutip bola) sebelum itu pun sudah mengupas pisang di awal perlawanan. Bagaimanapun, kali kedua, pengadil ternampak dan memberitahu budak perempuan bukan hamba saya dan saya perlu lakukannya sendiri,” katanya.

Tambahnya, “Saya terkejut pengadil berkata seperti itu dan agak terkejut insiden ini menjadi hangat di media sosial tanpa mengetahui perkara sebenar yang berlaku.”

Pada pendapat anda, adakah tindakan Elliot seperti memperhambakan gadis pengutip bola tersebut?

Untuk membaca lebih banyak artikel mengenai atlet, anda boleh klik pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca