Minta 26 Ayat Al-Quran Dibuang Kerana Ajar Keganasan, Tokoh Syiah India Dikecam Hebat

Waseem Rizvi telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam di India baru-baru ini selepas bekas ketua Lembaga Wakaf Syiah Uttar Pradesh tersebut mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Agung India untuk menghapuskan 26 ayat daripada al-Quran dengan mendakwa ayat-ayat tersebut mempromosikan keganasan dan bukannya ayat asli daripada kitab suci itu sendiri.

Waseem turut berkata 26 ayat itu bukanlah datang daripada al-Quran tetapi ia dimasukkan sendiri oleh tiga tokoh khalifah Islam iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Umar Al-Khattab dan Uthman Affan ke dalam kitab suci berkenaan.

“Ayat-ayat ini ditambahkan ke dalam al-Quran oleh tiga khalifah pertama untuk membantu mengembangkan Islam melalui perang. Selepas Nabi Muhammad SAW, tiga tokoh khalifah Islam yang pertama iaitu Saidina Abu Bakar, Umar dan Uthman telah mengeluarkan al-Quran sebagai sebuah buku,” jelasnya.

Walaupun Waseem sering mengambil peluang untuk mencetuskan kontroversi, beberapa orang pemimpin daripada parti yang diwakili beliau iaitu Parti Bharatiya Janata (BJP) termasuk Syed Shahnawaz Hussain telah mengecam tindakan beliau pada kali ini.

Waseem Rizvi. Sumber: The Kashmir Walla

“Saya sangat membantah dan mengecam petisyen Waseem yang meminta pihak mahkamah menghapuskan 26 ayat al-Quran. Parti kami menganggap ia merupakan satu tindakan yang sangat serius dan terkutuk apabila anda berkata perkara-perkara yang tidak masuk akal mengenai teks apa-apa agama sekali pun termasuk al-Quran,” kata Shahnawaz.

Sementara itu, komuniti Syiah dan Sunni di India telah bersatu untuk mengecam tindakan Waseem dengan berkata petisyen beliau hanyalah aksi publisiti dan usaha untuk menambah sentimen agama.

Selepas petisyennya dimulakan di Mahkamah Agung pada 11 Mac lalu, protes terhadap Waseem telah berlaku di beberapa buah kota dan aduan polis termasuk daripada unit Kashmir parti BJP telah dibuat ke atas lelaki tersebut. Semoga perkara seperti ini tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca