Minggu KaryaOne 22 FiTA UiTM Kembali, Teater Magang Lakon Berjaya Pecahkan Malaysia Book Of Records

Mengangkat tema ‘Digitalizing Arts, Ignite Your Creativity’, Minggu KaryaOne yang merupakan acara tahunan anjuran Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi berjaya diadakan buat kali ke-22. Angka 22 ini melambangkan 22 tahun penubuhan fakulti FiTA sejak tahun 1998.

Ia merupakan salah satu inisiatif yang diambil oleh pihak fakulti bagi meraikan karya-karya pelajar selain mendidik mereka untuk membina personaliti kepimpinan serta kemahiran di luar kuliah daripada segi komunikasi dengan orang awam, penjanaan pendapatan dan meningkatkan daya saing yang positif.

Minggu KaryaOne 22 yang menampilkan 19 acara dari lima pusat pengajian ini berlangsung selama empat hari berturut-turut bermula pada 4 Disember 2019 hingga 7 Disember 2019 bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC).

Berikut adalah acara-acara yang berlangsung pada Minggu KaryaOne 22:

1. Majlis Amanat dan Anugerah Dekan

Majlis ini bertujuan untuk memberi anugerah dan apresiasi kepada para pelajar yang berjaya meraih keputusan cemerlang pada semester lepas.

2. Pameran Kueh 2.0

Pameran Kueh 2.0 yang diadakan pada hari pertama Minggu KaryaOne 22 adalah hasil kerjasama antara FiTA dan Yayasan Hasanah. Bertemakan ‘Preserving Traditional Taste’, ia bertujuan untuk memartabatkan kuih tradisional Malaysia kepada masyarakat. Kuih-muih tradisional dipamerkan mengikut negeri-negeri yang terdapat di seluruh Malaysia.

3. Wacana Seni

Acara ini memberi pendedahan kepada para pelajar dan orang ramai tentang pengalaman individu atau practitioner dalam bidang seni persembahan. Topik diskusi untuk Wacana Seni kali ini adalah ‘Kepentingan Kepelbagaian Bakat’ (Multifaceted Talent) dalam industri seni di Malaysia. Panel jemputan kali ini ialah Dato’ Norman Abdul Halim dan Fauziah Latiff.

4. Malam Promosi Filem: M4M4

Acara ini dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada para pelajar yang menguruskan sesebuah produksi filem untuk dipertontonkan di pawagam. Filem yang diarahkan Eyra Rahman itu dibarisi para pelakon terkenal tanah air seperti Nabila Huda, Faizal Hussein dan Bella Dowanna.

5. Pameran Cinephoto

Bertemakan ‘Digital Revolution’, pameran fotografi berkaitan perkembangan industri digital, budaya internet dan kehidupan seharian ini dikendalikan sepenuhnya oleh para pelajar Diploma Filem Semester 1.

6. Animation Kingdom XIII: PANTHEON

Animation Kingdom XIII: PANTHEON memberi peluang kepada para pelajar untuk mempamerkan kemahiran mereka dalam menghasilkan karya animasi yang berkualiti.

7. Integrated Performing Arts Course (IPAC)

IPAC merupakan pameran dan tayangan filem pendek yang dihasilkan oleh para pelajar Pusat Pengajian Filem. Bagi Minggu KaryaOne 22, sebanyak sembilan buah produksi telah diterbitkan.

8. Karnival FITAPreneur

Mengetengahkan slogan “Shop till you drop”, karnival yang berlangsung sepanjang Minggu KaryaOne 22 ini menyaksikan para pelajar berniaga menerusi kolaborasi bersama dengan penjual-penjual dalam talian.

9. FiTA Cosplayer: Creative Costume Play

Acara ini memperagakan kostum-kostum yang diinspirasikan daripada watak-watak animasi yang diambil daripada siri anime dan dipamerkan secara kreatif oleh para pelajar sendiri.

10. Zumba Masterclass: Neon Fit Party 3.0 Varsity Showdown

Acara ini bertujuan untuk meningkatkan kecergasan para pelajar di samping menghiburkan mereka menerusi senaman yang mengikut rentak lagu.

11. Clash of Talents 2

Pertandingan ini bertujuan untuk mencungkil bakat sama ada dalam bidang nyanyian, tarian ataupun bakat-bakat tersendiri dalam kalangan pelajar FiTA dan juga dari seluruh IPTA dan IPTS lain.

12. Teater Monolog: Magang Lakon

Persembahan yang dipersembahkan oleh pelajar dari jurusan Teater Semester 6 iaitu saudara Sadiq M. Jamil berjaya memecahkan rekod dalam Malaysia Book of Records dengan bermonolog solo selama 7 jam 58 minit tanpa henti.

13. Majlis MoU FiTA – Industri

Menerusi majlis ini, sebanyak 100 buah syarikat telah menandatangani perjanjian MoU antara FiTA UiTM dan syarikat-syarikat kreatif tempatan.

14. Teguh Rasa

Persembahan karya pentas oleh pelajar FiTA bersama pelajar Sekolah Seni Kuala Lumpur yang merangkumi tarian tradisional dan moden lima negara iaitu Malaysia, China, Mongolia, India dan Indonesia ini turut dihadiri oleh isteri Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Siti Hasmah.

15. Wilayah Aksara

Antara acara yang berlangsung semasa Wilayah Aksara termasuklah Rap Battle, Freestyle Show, Open Mic, 6 Word Stories dan Charades with the Audience.

16. Wacana bersama Sasterawan Negara

Acara yang bertujuan untuk membuka ruang bagi sasterawan tanah air berkongsi ilmu dengan para pelajar ini menampilkan nama-nama besar dalam dunia sastera tempatan dan antarabangsa iaitu Datuk Dr. Zurinah Hassan, Dato’ Baha Zain, Dr. Siti Zainon Ismail dan Datuk Dr. Ibrahim Ghaffar.

17. Diskusi Buku Kanak-Kanak dan Mari Bercerita

Forum bersama penulis buku kanak-kanak iaitu Yusof Gajah dan Nisah Haron bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar terhadap dunia penulisan cerita kanak-kanak.

18. Pertandingan Doodle

Pertandingan Doodle menguji bakat serta kemahiran pelajar dan penonton dalam menghasilkan karya mengikut tempoh serta tema yang ditetapkan secara rawak.

19. FiTA KaryaOne Awards

Acara kemuncak bagi Minggu KaryaOne 22 yang mengetengahkan sebanyak 33 anugerah ini dirasmikan oleh Tuan Mahmood Kassim, Setiausaha Politik Menteri Pendidikan Malaysia bersama Yang Berbahagia Profesor Emiterus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim selaku Naib Canselor Universiti Teknologi Mara dan Dekan Fakulti Filem Teater dan Animasi (FITA), Dato’ Profesor Dr. Abdul Razak Haji Mohaideen.

Menariknya, Minggu KaryaOne 22 kali ini turut mengetengahkan penganugerahan Tokoh Penggiat Industri FiTA UiTM kepada Dato’ Norman Abdul Halim dan Tokoh Seni dan Budaya Fita UiTM kepada Datuk Dr. Faridah Merican. Dua anugerah ini merupakan inisiatif FiTA bagi meraikan jasa mereka dalam industri seni kreatif Malaysia.

Kepada mereka yang ingin melihat rangkuman penuh acara yang berlangsung sepanjang Minggu KaryaOne 22 ini, anda boleh lihat di laman rasmi Facebook, Instagram dan YouTube KaryaOne 22.

Artikel Lain Untuk Di Baca