Messi Dan Suarez Jadi Hero Barcelona

Lionel Messi dan Luis Suarez sekali lagi menjadi hero Barcelona selepas kedua-dua jaringan mereka menyelamatkan Barcelona daripada mengalami kekalahan dalam perlawanan menentang pasukan yang berada di zon penyingkiran, Villarreal.

Dengan keputusan seri ini, pencabar kejuaraan liga Atletico Madrid berjaya merapatkan jurang kepada 8 mata. Terdahulu, pasukan yang diberi jolokan Los Rojiblancos itu menewaskan Girona dengan keputusan 2-0.

The Catalan yang turun tanpa kelibat Messi bermula dengan garang apabila selesa mendahului 2-0 ketika perlawanan baru memasuki minit yang ke-16. Namun begitu, pasukan tuan rumah berjaya merapatkan jurang 6 minit kemudian menerusi jaringan Samuel Chukwueze. Kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Villarreal bermula dengan baik apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-50.

Melihat pasukannya gagal mencipta serangan yang berbahaya, pengendali Barcelona, Ernesto Valverde akhirnya memasukkan ayam tambatan mereka Lionel Messi untuk mencari gol dalam usaha mengukuhkan cengkaman mereka di persada liga. Namun begitu, pasukan tuan rumah mengejutkan Barcelona dengan jaringan ketiga sejurus selepas Messi dimasukkan.

Ketika semuanya kelihatan tidak menjadi buat pasukan Barcelona, Carlos Bacca yang masuk sebagai pemain gantian menambah gol untuk Villarreal pada minit ke-80. Tersentak dengan jaringan itu, Barcelona kembali memperkemas rentak permainan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu Villarreal.

Usaha mereka berhasil apabila Messi berjaya merapatkan jurang dengan gol yang menarik menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti pada minit ke-90.

Ketika Barcelona dilihat bakal mengalami kekalahan pertama selepas 17 perlawanan di dalam semua pertandingan, Luis Suarez muncul sebagai penyelamat selepas berjaya menyamakan kedudukan pada minit-minit akhir perlawanan.

Gol yang membawa kepada 1 mata penting itu diraikan oleh anak-anak buah Ernesto Valverde seperti gol kemenangan. Namun begitu, perlawanan yang penuh dramatik ini dicacatkan dengan layangan 9 kad kuning dan 1 kad merah untuk pemain Villarreal selepas menerima kad kuning yang kedua pada hujung permainan.

“Walaupun hanya satu mata tetapi perasaannya berbeza apabila bangkit daripada ketinggalan 2 gol pada minit-minit akhir,” kata Valverde.

Messi dan Suarez kini bergabung meledak 51 gol liga musim ini, hanya 1 gol di belakang jaringan keseluruhan yang dilakukan Real Madrid setakat ini.

“Semangat yang kami tunjukkan di akhir permainan, enggan mengaku kalah, bangkit di minit akhir membuktikan kami benar-benar mahu menang liga ini,” kata Suarez.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca