Sesungguhnya Allah itu Maha Besar. Seorang kanak-kanak dari Mataram, Indonesia yang menghidapi penyakit Cerebral Palsy atau lumpuh otak dikurniakan kelebihan yang luar biasa di mana dia mampu menghafal 30 juzuk al-Quran.

Di samping itu, Hafiz yang juga dikenali sebagai Naja ini juga bukan sahaja boleh meneka surah daripada mana-mana ayat sehingga ke halaman berapa dengan tepat, malah dia juga boleh menyambung surah-surah berkenaan.

Di dalam fikiran peserta Hafidz Indonesia 2019 ini bagaikan terhampar setiap lembaran kalam Allah itu, lapor agensi berita Tribun News.

Ibu Naja, Dahlia Andayani mengatakan bahawa anaknya itu dilahirkan seperti kanak-kanak normal lain dan pada awalnya dia dan suami tidak menyedari keadaan sebenar Naja.

Tidak lama selepas itu, doktor mengesahkan bahawa Naja menghidap kelumpuhan otak apabila perkembangannya tidak seperti bayi lain.

“Saya juga kagum dengan kemampuan Naja yang mampu menghafal kitab suci al-Quran dengan cepat. Malah, saya juga belum pernah mengajarnya mengaji,” katanya.

Menerusi video dimuat naik di YouTube dan dan media sosial, rata-rata warganet memuji Naja apabila dia berjaya meneka surah dan membaca potongan ayat hanya berdasarkan muka surat yang diberikan salah seorang juri.

Kehebatan Naja yang baru sahaja berusia 9 tahun ini membuatkan hakim dan semua orang yang berada di studio kagum hingga menitiskan air mata.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda