Meskipun Gagal Dalam SPM, Pemuda Ini Kongsi Kisah Kerjaya Jadi Penterjemah Konsert Blackpink

Baru-baru ini tular mengenai kisah seorang pemuda bernama Shah yang berjaya menjadi seorang penterjemah bahasa Korea meskipun pernah gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengalaman tentang kisah hidupnya itu dikongsikan menerusi akaun Twitternya @asoshiation. Perkongsian ini berjaya meraih perhatian para warganet. Rata-rata daripada mereka menyatakan rasa bangga akan kesungguhan pemuda itu dalam mencapai kejayaan.

Menariknya, kejayaan yang diraih itu memberikannya peluang untuk bekerjasama dengan syarikat produksi untuk menjayakan konsert Blackpink di Malaysia. Meskipun kurang berminat dalam pelajaran, pemuda ini gemar menggunakan dan mempelajari aplikasi Photoshop, muzik dan sukan. Berhubung dengan itu, dia membuat keputusan untuk membuka sebuah syarikat rekaan pakaian.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi dia apabila perniagaan yang ditubuhkan secara kecil-kecilan tidak membawa keuntungan sama sekali. Menyedari kepopularitian selebriti Korea dalam masyarakat Malaysia sewaktu itu seakan pisang goreng panas, pemuda ini nekad untuk mempelajari bahasa Korea secara sendiri dengan hanya berpandukan buku dan internet sahaja.

Setelah beberapa bulan mempelajari bahasa Korea, lelaki ini berjaya mendapat tawaran bekerja dalam bidang rekaan bagi sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Korea. Tawaran itu secara tidak langsung menyedarkannya akan peluang dan harapan cerah yang bakal diraih sekiranya dia menerima pelawaan kerja tersebut.

Setelah yakin akan kebolehannya dalam berbahasa Korea, dia mengambil keputusan untuk berpindah ke negara tersebut dengan berbekalkan wang sebanyak RM700 sahaja. Jelasnya lagi, dia hanya menetap di dalam sebuah dorm bersama 16 orang yang lain dan berhidangkan roti sebagai makanan harian.

Penghijrahannya ke negara tersebut selama 14 bulan ternyata meningkatkan kefahaman dan kelancarannya dalam berkomunikasi menggunakan bahasa Korea. Lantas, kerjayanya sebagai penterjemah bermula apabila rakannya di Korea mencari individu yang berkebolehan dalam menterjemah bahasa bagi konsert K-pop.

Tawaran itu terus diambil dan konsert pertama yang menggunakan khidmat lelaki ini sebagai penterjemah adalah konsert iKON. Tambahnya lagi, sepanjang penglibatannya sebagai penterjemah konsert K-pop, persembahan paling menarik yang pernah dikendalikan olehnya adalah daripada kumpulan Blackpink.

Rumusnya, selagi kita tidak berhenti berusaha, selagi itu kejayaan akan datang menghampiri kita. Semoga perkongsian ini mampu menerapkan sifat positif dalam diri pembaca.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca