ATLAS Vending telah bekerjasama dengan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) bagi melancarkan program perintisnya untuk menempatkan mesin layan diri Braille.
Pengendali mesin layan diri terbesar di seluruh Malaysia ini telah menampilkan mesin yang dilengkapi khas ciri bantuan tambahan untuk membolehkan akses kepada pelanggan cacat penglihatan.
Pelancaran pertama telah diperakui oleh Malaysia Book of Records sebagai mesin layan diri Braille pertama di Malaysia.
Inisiatif ini bertepatan dengan matlamat Atlas Vending untuk mengurangkan halangan yang dihadapi oleh komuniti cacat penglihatan.
Sebanyak 11 mesin layan diri yang dilancarkan dalam projek perintis ini terletak di sekitar stesen LRT termasuk Brickfields, Kuala Lumpur.
Mesin layan diri ini mempunyai pelbagai pilihan beberapa jenis minuman botol dan tin kegemaran tempatan. Pelanggan juga boleh memilih pembayaran secara tunai atau tanpa tunai.

Selain itu, kemudahan akses tambahan bukan sahaja dilengkapi dengan plat tulisan Braille malah mempunyai lampu penunjuk dan arahan audio daripada sensor gerakan.
Memetik data New Straits Times, Kementerian Kesihatan membuat tinjauan dan mendapati sebanyak 800,000 rakyat Malaysia rabun separa manakala hampir 95,000 buta sepenuhnya.
Kerjasama daripada dua pihak ini turut berjaya menyalurkan sumbangan bernilai RM10,000 kepada Tabung Kempen COVID-19 MAB.
Ini bertujuan membantu golongan orang buta terutama kepada mereka yang kehilangan pendapatan akibat wabak pandemik COVID-19 yang telah melanda negara.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: